Translate

Isnin, 13 Mei 2013

19 orang cedera ditembak

WASHINGTON 13 Mei - Sambutan Hari Ibu di New Orleans, Amerika Syarikat, dicemari insiden keganasan apabila sebanyak 19 orang cedera, termasuk dua kanak-kanak berusia 10 tahun, dalam satu kejadian tembakan semasa perarakan sambutan tersebut, semalam. Pegawai Jabatan Polis New Orleans, Ronal Serpas berkata, polis mendapati tiga individu terbabit dalam kejadian itu dan mereka dipercayai menggunakan dua jenis senjata api. "Kami percaya dua atau tiga orang mula melepaskan tembakan dan motif mereka berbuat demikian masih belum dapat dipastikan. "Kebanyakan mangsa cedera akibat terkena lantunan kelongsong peluru," jelasnya. Seramai 17 orang dewasa cedera dalam kejadian tersebut dan dua kanak-kanak, lelaki dan perempuan, hanya mengalami luka. Jurucakap Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di New Orleans, Mary Beth Romig berkata, kejadian terbaharu itu tiada kena mengena dengan aktiviti pengganas dan hanya membabitkan 'keganasan jalanan'. "Berdasarkan sumber risikan, insiden yang berlaku di New Orleans bukan angkara pengganas," jelasnya. Polis merayu kepada orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dan menawarkan habuan berjumlah AS$2,500 (RM7,500) bagi sesiapa yang memberi maklumat sehingga suspek berjaya ditangkap. Kejadian tersebut berlaku tidak sampai sebulan selepas dua serangan bom di Boston yang menyebabkan tiga orang terbunuh dan lebih 260 lagi cedera. Pada Disember lalu, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah sekolah rendah di Connecticut, menyebabkan 20 kanak-kanak dan enam kakitangan terbunuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan