Translate

Selasa, 30 April 2013

Aura maskulin melalui jambang

PENAMPILAN jejaka ini sedikit berbeza dengan kebanyakan gaya lelaki pada hari ini. Memakai baju berkotak dan seluar jean ketat, aura maskulin era Inggeris tahun 60-an jelas sebati dalam persalinannya. Tidak setakat itu, dia turut melengkapkan pesona diri dengan gaya janggut yang dilihat eksentrik pada pandangan mata orang Malaysia. “Ramai mula mengenali saya melalui jambang dan kumis unik ini,” ujar Muhammad. Azwan Mohd. Nor atau lebih dikenali sebagai Wak Doyok. Nama gelaran anak kelahiran Klang, Selangor itu mengimbas kembali watak komedi negara seberang iaitu Wak Doyok dan rakan duonya, Kadir, yang mencuit hati negara di nusantara sekitar tahun 1980-an. “Gelaran itu saya dapat apabila rakan-rakan melihat persamaan dari segi personaliti yang suka membuat lawak ketika bersama mereka. “Kebetulan saya sendiri berketurunan Jawa, jadi ia tidak mendatangkan masalah sewaktu diberi gelaran itu,” jelas Wak Doyok ketika ditemui Stailo baru-baru ini. Bercerita mengenai jambang dan kumis eksentriknya itu, jejaka berusia 33 tahun tersebut memberitahu dia mula menyimpannya sejak tahun lepas iaitu ketika bekerja secara sambilan di sebuah butik dari Britain iaitu Ben Sherman. “Apabila mendapat tahu Ben Sherman bakal memasuki pasaran Malaysia tahun lepas, lantas saya membuat permohonan untuk bekerja di butik itu bagi mendapat pengalaman dalam dunia fesyen,” katanya. Butik yang beroperasi sejak tahun 1963 itu mengambil beberapa inspirasi fesyen seperti gaya vintaj Mod. Stail itu menjadi ikutan anak muda sekitar tahun 50-an hingga 60-an. Jenama itu mengeluarkan koleksi merangkumi baju, kasut, sut dan beberapa aksesori khas untuk kaum Adam. Beberapa item terbaharu menyerap pengaruh Carnaby yang banyak menggunakan rekaan langsing dan mengikut bentuk badan.Model lelaki berjambang “Permohonan kali pertama saya tidak diterima, mungkin disebabkan imej yang dibawa ketika itu tidak menepati gaya jenama tersebut. Kemudian saya membuat beberapa rujukan dengan melihat kempen-kempen fesyen Ben Sherman yang banyak menggunakan model lelaki berjambang,” ujarnya. Dia memberanikan diri untuk menyimpan jambang dengan mengikut penampilan ikon fesyen lelaki, David Beckham yang pernah muncul dengan gaya serupa beberapa tahun lepas. Pada awalnya, Wak Doyok berasa ragu-ragu dan takut jika tidak kena dengan bentuk wajah dan penampilannya. Selama beberapa bulan, bulu-bulu halus mula kelihatan pada wajahnya dan dia mula merapikan jambang supaya kemas dan teratur. “Saya diterima bekerja di butik itu untuk permohonan kali kedua. Malah, ramai memuji dengan penampilan terbaharu ini,” ujarnya yang mengambil masa selama tiga bulan untuk mendapatkan gaya Howie. Jelas Wak Doyok, dia akan merapi jambang dan misainya dua hari sekali supaya ia tumbuh rapat dan lebat mengikut struktur wajah. “Selain itu, saya ada juga mengikut petua orang tua iaitu dengan mengelap jambang menggunakan tangan kanan yang dibasuh selepas makan. Walaupun tidak tahu kesahihannya, jambang saya tumbuh lebat sehingga sekarang,” seloroh Wak Doyok. Penjagaan perlu teliti Bagi memastikan jambang sentiasa kelihatan kemas, dia akan melakukan perapian selang dua hari dengan mencukur bulu pada bahagian bawah dagu. Selain itu, kumisnya yang melentik akan digunting supaya tidak terlalu panjang dan nampak menarik. “Proses penjagaan perlu teliti dan dibuat dengan cermat. Saya lebih suka melakukannya sendiri di rumah berbanding pergi ke salun,” jelasnya yang kini mula berjinak-jinak dalam dunia fesyen kasual jalanan. Pembersihan dan penjagaan perlu dilakukan kerana jika dibiarkan, ia akan nampak kotor dan tidak terurus. Wak Doyok berkata, kekotoran akan jelas kelihatan selepas makan kerana sisa-sisa makanan terlekat pada jambang terutamanya sekitar mulut. Saya sendiri menghadapi kesukaran ketika peringkat awal menyimpan jambang hingga terpaksa menggunakan sudu dan garfu untuk mengelakkan sisa makanan daripada melekat pada misai,” luahnya. Seperti rambut dan wajah yang mempunyai produk penjagaan tersendiri, jambang dan kumis juga mempunyai item pembersih dan gel perapi khusus untuk dandanan. “Beberapa produk saya beli daripada seorang teman di Singapura. Salah satunya ialah wax khas untuk melentikkan kumis. Selain itu, bagi melebatkan jambang, saya gunakan produk yang dibeli di kedai gunting rambut milik penyanyi Joe Flizzow, Joe's Barbershop,” kongsinya lagi. Menurut pemilik jenama The Garment itu lagi, produk penjagaan untuk jambang dan kumis sukar didapati di dalam negara berbanding di Eropah. Ujarnya, jika di England, terdapat persatuan yang diwujudkan untuk mengumpul komuniti-komuniti berjambang pelik tersebut. “Di Malaysia, gaya ini masih baharu, tetapi mula mendapat perhatian anak-anak muda kerana berjambang atau berkumis kemas dapat menonjolkan sisi maskulin dan lelaki sejati,” ujarnya.

Tangani isteri atau suami yang sangat cerewet

MEMPUNYAI isteri yang cerewet bukanlah satu perkara yang luar biasa. Sememangnya kaum wanita sinonim dengan sikap mudah meluah rasa. Mempunyai suami yang cerewet pula bukan takdir semua isteri tetapi hanya kepada sebahagian kecil sahaja. Sebabnya, makhluk Allah bernama lelaki ini sinonim dengan tidak bercakap banyak kerana lebih suka memendam rasa. Biarpun itu fitrahnya, sudah namanya manusia yang mempunyai satu persamaan besar iaitu berbeza dengan orang lain, sikap cerewet seorang suami bukanlah perkara yang terlalu luar biasa malah bukan juga bebanan yang berat, Insya–Allah! Rasa bersyukur Kepada mereka yang ditakdirkan mempunyai pasangan yang cerewet, sama ada suami atau isteri, anda masih perlu rasa bersyukur atas kurniaan-Nya. Kenapa perlu bersyukur? Sebabnya anda berpeluang mengetahui segala isi hatinya yang tidak puas hati dengan tindakan anda. Khususnya buat para isteri kerana kajian membuktikan ramai isteri yang mempunyai suami diam dan tidak memberi sebarang maklum balas dalam apa juga tindakan hingga isteri tidak tahu kesilapan atau kelemahan sendiri. Isteri hanya tahu ada yang tidak kena selepas cinta suami beralih arah kerana kononnya ada orang lain yang lebih memahami kehendak dan selera si suami. Buat para suami pula, anda perlu bersyukur kerana cerewet isteri anda adalah satu hiburan yang anda tidak pernah jangka. Percayalah! Apabila sikap cerewet tersebut tiba-tiba hilang, anda akan merinduinya malah anda boleh faham sesungguhnya ada sesuatu yang tidak kena dengan isteri anda. Perlu difahami juga bahawa isteri adalah wanita, sinonim dengan sikap seorang ibu yang akan bikin kecoh sebagai tanda sayang. Apabila tiada lagi kasih, biasanya anda akan tidak dipedulikan, tiada lagi cerewet sekali gus membuatkan anda rasa tersisih. Usaha penuhi kehendaknya Antara sebab seseorang itu jadi cerewet ialah apabila sesuatu yang dilakukan oleh orang lain gagal memenuhi kehendaknya. KOMUNIKASI antara suami dan isteri penting bagi memastikan rumah tangga tidak dilanda badai. - Gambar hiasan Lantaran, bagi mengelakkan cerewet pasangan anda berleluasa, anda perlu berusaha untuk memenuhi kehendak pasangan anda. Jangan cepat putus asa biarpun usaha anda nampaknya seperti tidak berbaloi kerana sikap pasangan masih sama. Bagi menangani situasi yang masih sama ini, anda perlu kembali ke titik mula. Contohnya, suami anda cerewet dalam hal makanan maka anda perlu tahu kehendak dan selera suami. Makanan kegemarannya, jenis hidangan kesukaannya dan bentuk hidangan tersebut. Bagi suami pula, fahami juga kesukaan isteri seperti pakaian, susun atur rumah dan jadual perjalanan. Jika tahu isteri akan bising kalau kasut anda tidak disusun, lantas bagi mengelakkan isteri anda berceloteh dan buat kecoh, pastikanlah kasut anda tersusun kemas. Bertanya dan berterus terang Kebanyakan pasangan mengambil jalan mudah, merasakan diri difahami oleh pasangan kerana telah melalui hidup bersama dalam tempoh yang lama. Realitinya, andai berkawan atau bercinta lama sebelum kahwin ataupun telah melalui tempoh perkahwinan yang lama, anda takkan mengenali pasangan anda sepenuhnya. Sikap manusia umpama pasir di pantai, boleh berubah sepanjang masa, bezanya perubahan yang sedikit tanpa disedari atau perubahan besar dan mudah disedari. Lantas, amalkan untuk sentiasa bertanya, berbincang dan berterus terang dengan pasangan anda apabila merancang sesuatu perkara berkaitan perjalanan hidup rumah tangga anda termasuk jadual kerja anda. Bersabar dan berdoa Di samping usaha dan tindakan perlu dilaksana, tidak dinafikan anda perlu lebih bersabar menghadapi kerenah pasangan sebegini. Anda juga perlu berdoa agar pasangan anda menghentikan tabiatnya yang merimaskan itu. Berubahlah. Mereka yang bersikap cerewet, jangan hanya harapkan pasangan memahami anda sebaliknya berubahlah demi keselesaan pasangan anda.

Willem-Alexander ditabal Raja Belanda

AMSTERDAM - Willem-Alexander dinobatkan sebagai Raja Belanda pertama sejak 1890 semalam dengan baginda tidak mempunyai kuasa politik tetapi menjadi simbol yang penting kepada rakyat negara berkenaan. Sambil menahan air mata, bekas Ratu Beatrix melangkah ke balkoni Istana Diraja dan menampilkan puteranya kepada 25,000 orang yang berhimpun di Dataran Dam di sini. Rata-rata mereka memakai baju oren sebagai warna kebangsaan Belanda. "Beberapa detik lalu, saya turun daripada takhta. Saya kini gembira dan bersyukur untuk menampilkan kepada kamu semua, raja baharu kamu," kata Beatrix, 75, yang berundur selepas 33 tahun menjadi ketua negara. Beliau mewarisi takhta daripada bonda dan nendanya. Susulan pengundurannya Beatrix kini memakai gelaran Puteri. Dalam pada itu, bangunan-bangunan di bandar raya ini dicat kuning menjelang pertabalan Willem-Alexander sebagai Raja Belanda kelmarin. Beberapa juta rakyat di seluruh negara itu turut bersiap sedia untuk keluar ke jalan-jalan raya bagi meraikan pertabalan raja baharu mereka. Sekitar 10,000 anggota polis di sini yang dibantu sejumlah anjing pengesan turut dikerahkan untuk mengawal keselamatan sekali gus mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Tragedi hiba keluarga polis

KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai polis tidak menyangka akan kehilangan isteri dan dua anaknya secara serentak apabila ketiga-tiga insan yang dicintanya itu maut selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 27 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di Kampung Sungai Mali, Wakaf Tapai, Marang semalam. Superintendan Ghazali Daud, 49, yang bertugas sebagai Urusetia di Unit Agama dan Kaunseling Bukit Aman kehilangan isterinya, Haniza Abdul Rahman, 40, serta dua anak, Ahmad Firdaus Izzudin, 10, dan Nur Aliah Adibah, 9, dalam kemalangan pada pukul 3.45 pagi itu. Ketiga-tiga mangsa maut akibat cedera parah di kepala dan badan selepas tercampak keluar daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang dipandu Ghazali. Kejadian itu turut mengakibatkan Ghazali yang juga imam Masjid Bukit Aman patah paha kiri. Turut berada dalam MPV itu ialah lima lagi anak pasangan itu. Nur Aliah Afifah, 6, dan Nur Aliah Atikah, 5, dilaporkan kritikal kerana cedera parah di kepala. Aina Yusra, 2, patah paha kiri manakala Ahmad Fahmi Izzudin, 12, dan Akilah Husna, tujuh bulan pula cedera ringan. Difahamkan, mereka dalam perjalanan ke rumah keluarga Haniza di Kampung Gong Pak Jin, Gong Badak dari Kuala Lumpur.

Rangka orang purba ditemui

DI sebuah padang berlumpur di Seine iaitu terletak di tenggara Paris, Perancis, ahli-ahli arkeologi telah menemui tanah perkuburan manusia Zaman Besi. Mereka percaya penemuan itu bakal membawa sinar dalam merungkai pemerintahan tamadun Gaul. Sebelum ini, tapak berkenaan yang terletak di pinggir Troyes dibangunkan untuk projek perindustrian dan ketika itu pelbagai bahan bersejarah yang menakjubkan telah dijumpai. Ia termasuk kubur lima pahlawan Celtic yang lengkap bersenjata dan perhiasan sekali gus membuktikan wujudnya anggota tentera elit pada zaman itu. Ahli arkeologi, Emilie Millet mencangkung di atas kubur yang merupakan salah satu daripada 14 perkuburan yang ditemui di kawasan tersebut sejak beberapa minggu lalu. Ia ditemui selepas proses penggalian bermula sembilan tahun lalu di kawasan lapang berkeluasan 260 hektar. Di bawah tapak kakinya terdapat rangka seorang pahlawan berjawatan tinggi lengkap dengan pedang besi sepanjang 70 sentimeter. "Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini," ujarnya sambil menatap perisai logam yang mempunyai rangka kayu dan kulit yang telah reput. Di sebelah rangka pahlawan itu ditemui beberapa rangka wanita yang memakai barang perhiasan seperti rantai leher berpintal logam dan kerongsang besar perak yang direka dengan batu karang berharga. Dalam sebuah kubur lain ditemui rangka lelaki dan wanita yang hanya dipisahkan oleh lapisan tanah. Berdasarkan kedudukan rangka-rangka itu, dipercayai ia mempunyai hubungan rapat ketika hidup. "Kawasan ini merupakan tanah perkuburan yang besar dan ia satu penemuan yang luar biasa," kata wakil Institut Penyelidikan Penyenggaraan Arkeologi Kebangsaan (Inrap), yang melakukan kerja-kerja menggali tapak sebelum jentolak dibenarkan masuk. Berdasarkan barang-barang kemas yang ditemui, rangka-rangka itu dipercayai dikebumikan antara tahun 325 Sebelum Masihi (SM) dan 260 SM iaitu tempoh masa yang dikenali sebagai La Tene. Satu lagi petunjuk daripada analisis yang dikeluarkan oleh Scabbards ialah perubahan hiasan fesyen tentera. Reka bentuk pakaian tentera dalam tempoh masa itu biasanya mempunyai simbol dua ekor naga menghadap satu sama lain dengan badan bergulung. SALAH satu kubur ditemui ialah kubur rangka lelaki dan wanita dalam kedudukan bertentangan. Tamadun berkembang La Tene mendapat nama melalui tapak arkeologi di Switzerland yang wujud antara abad ke-5 SM hingga abad pertama Selepas Masihi, menandakan tahun kegemilangan orang Celtic. Pada zaman itu, tamadun orang Celtic berkembang daripada kawasan pusat mereka di tengah Eropah hingga sejauh utara Scotland dan pantai Atlantik Sepanyol. Zaman kegemilangan kaum tersebut seiring dengan kebangkitan empayar Rom yang ketika itu sedang berperang meluaskan kawasan jajahan mereka. Orang Celtic digambarkan sebagai orang berkulit pucat, memakai seluar dan berambut perang. Ketika berperang, mereka dikatakan memenggal kepala musuh manakala jasad ketua musuh mereka disimpan dalam minyak sedar. Begitupun, imej kasar itu telah disangkal oleh kajian sejarah dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Kaum tersebut dikatakan mempunyai tamadun yang kompleks selain memiliki kepakaran dalam bidang logam dan sistem perdagangan. Kekuasaan mereka menjangkaui seluruh Eropah dan menjana kekayaan yang besar. Penemuan terbaharu di Bucheres itu menimbulkan beberapa persoalan kerana di kawasan berkenaan tidak dijumpai sebarang bukti yang menunjukkan ia pernah menjadi kawasan penempatan orang Celtic. "Kubur-kubur itu ditemui pada kedalaman kira-kira dua meter di kawasan lapang yang tidak ditemui sebarang tanda menunjukkan ia kawasan tanah perkuburan. Jika dibandingkan dengan tamadun awal iaitu Zaman Gangsa boleh ditemui tanda-tanda peninggalan seperti barisan bonggol-bonggol di sekitar kawasan pengebumian. Ia boleh jelas kelihatan sejauh beberapa kilometer," kata Cecile Paresys yang merupakan ahli arkeologi dari Inrap. Penggalian yang dilakukan oleh Inrap masih belum menemui sebarang bukti seperti tembikar atau makanan yang sering dimasukkan ke dalam kubur Era Besi untuk bekalan si mati di dunia roh. Tiada mayat kanak-kanak ditemui seperti kebiasaan dalam kubur orang Celts. Perkara tersebut jelas mengelirukan dan sukar dijelaskan oleh ahli antropologi. Bagaimanapun, kerja-kerja forensik yang dilakukan dijangka bakal merungkai petunjuk tentang cara kehidupan tamadun berkenaan. Dalam pada itu, rangka-rangka yang dijumpai sedang direkod sebelum dikeluarkan dari kubur untuk proses pemuliharaan.

Pesawat angkasa Virgin jalani ujian pertama

WASHINGTON - Pesawat angkasa milik Virgin Galactic yang dibina untuk membawa pelancong ke pinggir angkasa melakukan ujian penerbangan pertamanya kelmarin. Enjin pesawat SpaceShipTwo dihidupkan selepas dipisahkan oleh pesawat WhiteKnightTwo yang membawa pesawat itu ke paras ketinggian 14,000 meter di padang pasir Mojave, California, kata firma milik jutawan Britain, Richard Branson dalam satu kenyataan. Roket tersebut berjaya diterbangkan seperti yang dirancang iaitu selama 16 saat, cukup untuk membawa kapal angkasa itu pada ketinggian 16,764 meter dengan 1.2 kali kelajuan bunyi. "Buat pertama kalinya, kami berjaya membuktikan komponen utama sistem itu dapat berfungsi dengan begitu baik," kata Branson. Berikutan kejayaan ujian itu, Branson menjangkakan pesawat angkasanya boleh mula beroperasi menjelang hujung tahun ini. Lebih daripada 500 orang telah menempah tempat duduk dan membayar deposit untuk tiket yang berharga AS$200,000 (RM607,200) bagi setiap penerbangan perjalanan merentasi suborbit dengan SS2. Pesawat SS2 boleh menempatkan enam penumpang. SS2 merupakan versi komersial SpaceShipOne, kapal angkasa swasta pertama yang sampai ke pinggir angkasa pada tahun 2004. Ia kini ditempatkan di Muzium Udara dan Angkasa di Washington.

Victoria berbogel semasa reka pakaian

Victoria berbogel semasa reka pakaian LONDON - Bekas anggota kumpulan Spice Girl yang juga pereka fesyen, Victoria Beckham mendedahkan bahawa dia kerap berbogel semasa menghasilkan pakaian, lapor akhbar The Sun kelmarin. Rutin tersebut dilakukan oleh Victoria, 39, di hadapan pasukan pereka fesyennya sebagai sebahagian proses rekaan pakaian. "Kami semua amat rapat. Kebiasaannya saya berbogel dan menghasilkan pakaian pada diri sendiri," akuinya. Selebriti yang terkenal dengan panggilan Posh itu membuat pengakuan ketika dia menghadiri Festival Vogue di London pada hujung minggu lalu. Victoria ialah isteri kepada pemain bola sepak terkenal, David Beckham. Dia meninggalkan kerjaya nyanyian untuk memberi tumpuan kepada label pakaian rekaannya sendiri, merangkumi jeans dan cermin mata yang sebelum ini menggunakan jenama Dvb.

Ahad, 28 April 2013

19 mangsa runtuhan berjaya dikeluarkan

SAVAR, Bangladesh - Polis di negara ini menangkap lima orang berhubung kejadian sebuah bangunan runtuh ketika para anggota penyelamat berjaya mengeluarkan 19 mangsa hidup-hidup daripada celah runtuhan di sini semalam. Sekurang-kurangnya 340 orang telah terbunuh dalam kejadian runtuhan bangunan setinggi lapan tingkat itu pada Rabu lalu. Ketika kejadian, sejumlah orang sedang bekerja di dalam bangunan tersebut yang menempatkan sebuah kilang pakaian. Menteri Muda Dalam Negeri, Haque Tuku berkata, polis telah menangkap Pengarah Urusan New Wave Apparels Ltd., Bazlus Samad dan pengerusi syarikat itu, Mahmudur Rahman Tapash berhubung kejadian tersebut. Ketika berkata kepada pemberita, beliau memberitahu, seorang wanita yang merupakan isteri kepada pemilik bangunan itu turut ditahan untuk disoal siasat. Sebanyak tiga tingkat bangunan tersebut dibina secara haram. Pihak berkuasa kini memburu suami kepada wanita tersebut, Mohammed Sohel Rana yang juga seorang ahli politik tempatan yang tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak bangunan itu runtuh. Mohammed akan didakwa melakukan kecuaian berhubung kejadian itu. Dua orang jurutera yang bekerja dengan Majlis Perbandaran Savar, Imtemam Hossain dan Alam Ali turut ditahan selepas mereka didapati membenarkan bangunan tersebut digunakan selepas kedua-duanya melakukan pemeriksaan. Menurut pihak syarikat itu, seramai 3,122 yang bekerja di dalam bangunan itu.

Rabu, 24 April 2013

Wanita Kelantan serbu kedai emas...harga emas turun lagi.... itu petanda baik untuk melabur..... di jangkakan bulan ogos harga emas mencecah 10 gram rm2000

KOTA BHARU - Di sebalik kehangatan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di sini, orang ramai khususnya kaum wanita Kelantan tidak melepaskan peluang membeli barangan kemas berikutan harga emas turun sejak minggu lepas. Harga emas jenis 916 yang menjadi pilihan ramai turun kepada RM380 bagi 2.7 gram berbanding RM420 untuk 2.7 gram sebelumnya. Harga emas di pasaran dunia yang dicatatkan semalam ialah RM140 satu gram. Tinjauan di sekitar bandar Kota Bharu seawal pukul 9 pagi semalam mendapati pengunjung mula membanjiri kedai-kedai emas, malah ada yang sanggup beratur sebelum waktu perniagaan bermula. Pekerja sebuah kedai emas di Jalan Post Office Lama di sini, Wan Ahmad Salihan Wan Mohd Zaki berkata, orang ramai mula menyerbu kedai milik keluarganya itu selepas berita harga emas turun disiarkan akhbar pada minggu lepas. Susulan itu, Wan Ahmad Salihan berkata, operasi kedai itu yang ditutup pukul 5.30 petang setiap hari kini dilanjutkan sehingga pukul 7 malam. Antara yang menjadi pilihan pelanggan ialah rantai, gelang dan loket selain barangan kemas yang ditempah mengikut kehendak mereka.

Penyamun parah dibelasah orang ramai

SEREMBAN - Malang menimpa seorang lelaki apabila dia bukan sahaja gagal mendapatkan hasil samun malah, ditinggalkan rakan apabila melihat dirinya teruk dibelasah oleh orang awam dalam kejadian di Biz Avenue di Seremban 2 dekat sini semalam. Kejadian pukul 3 petang itu berlaku apabila suspek bersama seorang lagi rakannya yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z cuba menyamun rantai leher seorang lelaki berusia 34 tahun. Jurucakap polis berkata, mangsa yang enggan menurut arahan cuba melawan menyebabkan suspek terus menetak kepala lelaki itu sebanyak dua kali sebelum cuba melarikan diri.

Harga petrol di Indonesia naik 40%

JAKARTA - Pemerintah Indonesia mengambil risiko kehilangan populariti menjelang pilihan raya 2014 berikutan rancangannya mahu mengurangkan subsidi minyak di negara berkenaan. Sebelum ini pakar-pakar ekonomi bimbang subsidi harga minyak yang menelan lebih 16 peratus bajet negara akan menjejaskan ekonomi Indonesia. Rancangan untuk menaikkan harga petrol dan diesel itu adalah yang pertama sejak lima tahun lalu. Menteri Tenaga, Jero Wacik mengumumkan seminggu lalu bahawa pelan tersebut akan menyaksikan harga petrol untuk kereta persendirian meningkat lebih 40 peratus. Kenaikan itu akan mula berkuat kuasa pada bulan depan. Harga petrol di Indonesia ketika ini kekal pada 4,500 rupiah (RM1.40) seliter atau separuh daripada harga pasaran semasa sekali gus antara yang termurah di Asia. Di bawah pelan baharu tersebut, harga petrol untuk kereta persendirian dijangka naik sekitar 6,500 rupiah (RM2.03) seliter. Pemerintah Indonesia berharap dapat mengekang kemarahan rakyat dengan mengekalkan subsidi penuh petrol dan diesel untuk motosikal serta pengangkutan awam. Namun, rancangan itu telah membangkitkan rasa tidak senang dalam kalangan 240 juta rakyat di negara itu. "Masalahnya, jika harga minyak naik, harga barangan lain seperti daging dan gandum akan turut meningkat," kata seorang penjual mi di sini. Subsidi minyak menjadi masalah kepada banyak negara di Asia termasuk India dan Malaysia yang berdepan tekanan untuk mengekalkan subsidi yang tinggi di sebalik kenaikan harga minyak global. Harga minyak mentah bagi penghantaran Jun 2013 jatuh 1 sen AS$89.18 (RM272.17) setong di Bursa Mercantile New York manakala di bursa hadapan ICE, London, minyak mentah Brent meningkat 62 sen untuk diniagakan pada harga AS$100.93 (RM308.03) setong.

Bangunan runtuh, 100 terbunuh

SAVAR - Tidak kurang 100 orang terbunuh dengan ramai lagi mangsa dikhuatiri mati selepas sebuah bangunan runtuh di Bangladesh semalam, menurut sumber rasmi. Bangunan lapan tingkat tersebut, Plaza Rana, menempatkan beberapa premis perniagaan termasuk sebuah pasar raya dan kilang pakaian. Seorang pegawai berkata, hanya tingkat bawah bangunan itu yang menempatkan sebuah bank masih berada dalam keadaan sempurna. Bangunan itu terletak di bandar ini, 30 kilometer dari ibu kota Bangladesh, Dhaka. "Setakat ini, kami telah menjumpai 15 mayat dengan ramai lagi dikhuatiri mati," kata Pengarah Jabatan Bomba, Mejar Zehadul Islam kepada agensi berita AFP. Menurutnya, pasukan tentera turut dipanggil bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa. Sekitar 2,000 orang berada di dalam bangunan tersebut ketika ia runtuh pada pukul 9 pagi (waktu tempatan). Ketua polis tempatan, M. Asaduzzaman pula memberitahu, situasi kini genting dengan sekurang-kurangnya 150 dibimbangi masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan. Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai kesihatan, Litu Ahmed berkata, sekurang-kurangnya 35 mangsa yang cedera telah dimasukkan ke hospital manakala 150 orang lagi menerima rawatan pesakit luar. Kejadian bangunan runtuh kerap berlaku di Bangladesh ekoran sikap pemaju yang tidak mempedulikan peraturan pembinaan bangunan bertingkat.

Isnin, 22 April 2013

gambar gaza selepas dibedil israel

gambar jepun selepas tsunami

Wartawan tinggalkan majlis perkahwinannya demi tugas

Ya'an - Seorang wartawan sebuah stesen televisyen, Chen Ying sanggup meninggalkan majlis perkahwinannya apabila dia membuat laporan tentang kejadian gempa bumi yang berlaku di wilayah Sichuan, barat daya China kelmarin. Ketika kejadian, Ying disolek sebelum majlis perkahwinannya berlangsung. Menurut laporan media tempatan, ekoran gegaran gempa bumi berlaku di sini, dia yang masih berpakaian pengantin sanggup membuat temu ramah dengan penduduk dan membuat laporan tentang kejadian tersebut secara langsung. Lebih 200 orang terbunuh dalam kejadian itu selepas berlakunya gempa bumi sekuat 6.6 pada skala Richter dengan kedalaman 12 kilometer dan berpusat dekat bandar ini

Hospital kos murah di India

BANGALORE - Sebuah hospital di Mysore menawarkan kos pembedahan jantung pada kadar yang lebih murah kepada para pesakit. Hospital Narayana Hrudayalaya itu terletak dua jam perjalanan dari sini, dibina dengan kos sebanyak AS$7.4 juta (RM22.45 juta) dalam tempoh 10 bulan dan dibuka baru-baru ini. Pengasas hospital itu ialah salah seorang pakar jantung yang terkenal di dunia, Devi Shetty. Di hospital itu, penyaman udara hanya disediakan di bilik-bilik pembedahan dan unit rawatan rapi. Hospital itu dilengkapi dengan tingkap yang besar bagi mengurangkan penggunaan penyaman udara. Saudara-mara atau rakan yang melawat pesakit diberikan latihan kejururawatan selama empat jam dan mereka boleh melakukan kerja-kerja yang mudah seperti menukar pembalut luka pesakit. Kumpulan pengurusan hospital itu percaya ia mampu mengurangkan kos pembedahan jantung sehingga kepada AS$800 (RM2,427). Sebahagian pesakit miskin dibenarkan untuk menerima rawatan secara percuma. Menurut Shetty, terdapat hospital yang dibina dengan dilengkapi 200 hingga 300 katil dekat Stanford, Amerika Syarikat (AS). Beliau berkata, kos pembinaan hospital di AS itu mungkin lebih AS$600 juta (RM1.82 bilion). "Terdapat sebuah lagi hospital akan dibina di London. Kos hospital itu dipercayai lebih AS$1.52 bilion (RM4.61 bilion)," kata bapa kepada empat orang anak itu. Menurutnya, pihaknya menyasarkan untuk membina sebuah hospital dan dilengkapi dengan peralatan pada kos hanya AS$6 juta (RM18.20 juta). Kebanyakan pesakit tidak akan dikenakan bayaran melebihi AS$1,800 (RM5,462). Kejayaan Shetty menyebabkan beliau menjadi seorang yang kaya dan dikenali di peringkat antarabangsa. Baru-baru ini, stesen televisyen Al-Jazeera menyiarkan enam siri tentang hospital itu dengan wad-wad dipenuhi pesakit yang terdiri dalam kalangan petani dan buruh. "Kami pernah melihatnya (Shetty) menerusi televisyen baru-baru ini dan kami dapat melihat komitmen beliau untuk membantu penduduk miskin dan kelas pertengahan," kata seorang kakitangan awam, Ranjan Bhattacharya. Bhattacharya membawa isterinya yang sakit ke hospital itu dengan sanggup menempuh perjalanan sejauh 2,000 kilometer dengan menggunakan kereta api. Doktor-doktor di hospital itu melakukan pembedahan pada awal pagi sehingga pada waktu malam selama enam hari seminggu. Penubuhan hospital itu diilhamkan daripada syarikat penerbangan tambang murah yang mengggunakan pesawat-pesawat sedia ada dengan semaksimum mungkin

Pesawat berkuasa suria jalani ujian

MOUNTAIN VIEW, California - Sebuah pesawat berkuasa suria menjalani ujian pada Jumaat lalu di Teluk San Francisco selepas berlepas dari Moffett Field di sini. Pesawat itu yang bernama Solar Impulse menjalani ujian penerbangan selama dua jam. Menurut salah seorang pencipta dan juruterbang pesawat itu, André Borschberg, Solar Impulse akan terbang mengelilingi dunia dalam tempoh dua tahun lagi. Pesawat satu tempat duduk itu boleh bergerak selaju 64.37 kilometer sejam dan menembusi awan. Seorang lagi pencipta pesawat itu, Bertrand Piccard berkata, pesawat berkenaan bersedia untuk melakukan penerbangan merentasi negeri-negeri di Amerika Syarikat pada 1 Mei depan.

Sabtu, 20 April 2013

10 gajet Sandra Dewi

AKTRES dan model cantik, Sandra Dewi mempunyai hobi mengumpul telefon bimbit dan gajet keluaran terbaharu sejak beberapa tahun lalu. "Kalau ke mana-mana, saya selalu membawa gajet dan saya mempunyai 10 gajet kesemuanya," kata Sandra Dewi yang terkenal melalui filem Quickie Express. Bagi aktres tersebut, alat komunikasi sangat penting untuk mencari dan mendapatkan maklumat terbaharu terutama dalam memberikan aktiviti terkini kepada peminat. "Setiap masa saya akan bersama gajet. Teknologi sangat penting buat saya kerana jarang berkomunikasi dengan orang luar. Jadi saya menggunakan gajet untuk tujuan komunikasi, ujar aktres yang lahir pada 8 Ogos 1983 ini. "Mungkin kerana saya seorang figura masyarakat jadi setiap ada pelancaran alat elektronik baharu, saya sering diundang," katanya. Selain alat elektronik, Sandra juga mengumpul beg tangan, baju dan aksesori. "Saya suka berbelanja, saya mempunyai banyak seperti beg tangan, baju, dan aksesori. Kerana saya mempunyai gajet yang banyak, jadi saya mempunyai beg tangan yang khusus untuk itu," kata bintang filem Langit Ketujuh ini.