Translate

Selasa, 30 April 2013

Willem-Alexander ditabal Raja Belanda

AMSTERDAM - Willem-Alexander dinobatkan sebagai Raja Belanda pertama sejak 1890 semalam dengan baginda tidak mempunyai kuasa politik tetapi menjadi simbol yang penting kepada rakyat negara berkenaan. Sambil menahan air mata, bekas Ratu Beatrix melangkah ke balkoni Istana Diraja dan menampilkan puteranya kepada 25,000 orang yang berhimpun di Dataran Dam di sini. Rata-rata mereka memakai baju oren sebagai warna kebangsaan Belanda. "Beberapa detik lalu, saya turun daripada takhta. Saya kini gembira dan bersyukur untuk menampilkan kepada kamu semua, raja baharu kamu," kata Beatrix, 75, yang berundur selepas 33 tahun menjadi ketua negara. Beliau mewarisi takhta daripada bonda dan nendanya. Susulan pengundurannya Beatrix kini memakai gelaran Puteri. Dalam pada itu, bangunan-bangunan di bandar raya ini dicat kuning menjelang pertabalan Willem-Alexander sebagai Raja Belanda kelmarin. Beberapa juta rakyat di seluruh negara itu turut bersiap sedia untuk keluar ke jalan-jalan raya bagi meraikan pertabalan raja baharu mereka. Sekitar 10,000 anggota polis di sini yang dibantu sejumlah anjing pengesan turut dikerahkan untuk mengawal keselamatan sekali gus mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan