Translate

Isnin, 13 Mei 2013

Islam melarang berpacaran?

DUNIA kini menyaksikan hubungan lelaki dan wanita melanggar tabie dengan wujud pergaulan bebas sesama sendiri. Tindakan terlarang berkenaan sebenarnya boleh menyumbang kesan besar kepada institusi keluarga. Hubungan intim tanpa ikatan perkahwinan bermula dengan sang lelaki mengenyitkan mata kepada wanita lalu berakhir melalui hubungan zina di atas katil adalah tidak wajar malah Islam melarang tindakan terkutuk berkenaan. Hal berkenaan melihat ajaran Islam yang mendidik untuk tidak mendekati zina. Jika mendekati zina tidak dibenarkan apatah lagi melakukan zina. Namun perintah itu adakah menunjukkan bahawa Islam melarang berpacaran antara kaum adam dan hawa? Adakah Islam tidak langsung membenarkan langsung pergaulan lelaki dan wanita? Pensyarah Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Mohammad Nidzam Abdul Kadir menyatakan bahawa Islam bukanlah agama yang jumud dan beku, tetapi ajaran agama itu sesuai sepanjang zaman. Ujar beliau, Islam bukan berkisah antara halal dan haram tetapi agama itu membawa ajaran yang menekankan keharmonian kehidupan, perhubungan dan sebagainya. Namun setiap sesuatu ada batas dan hadnya. "Islam tidak menghalang untuk bercinta, tetapi syariat telah menetapkan syarat agar umat tidak melakukan perbuatan terlarang demi menyelamat institusi sosial dan negara," ujar pada program bedah buku terbaru tulisannya bertajuk Bolehkah Bercouple anjuran Telaga Biru Sdn. Bhd. bersempena Pesta Buku Antarabangsa baru-baru ini. Kata Mohammad Nidzam, tidak dinafikan terdapat ramai golongan generasi muda yang bercinta dalam tempoh terlalu lama sehingga dalam tempoh tujuh atau 10 tahun sebelum mengikat ikatan perkahwinan, dalam tempoh itu telah memberi peluang kepada hawa nafsu untuk menggoda lalu ramai yang tergelincir. "Mungkin ada golongan ahli agama, ustaz dan individu yang prihatin terhadap persoalan agama dan masalah sosial tidak bersetuju dengan tajuk buku ini atau mungkin merasakan ia suatu galakkan untuk terus bergelumang dengan maksiat. "Walau bagaimanapun kefahaman terhadap agama diberikan, penulisan ini bukanlah bertujuan menghalalkan perkara yang jelas haram, sebaliknya tujuan buku ini adalah sebagai satu jalan keluar buat masyarakat yang terdedah kepada pergaulan seks bebas dan sebagainya," jelas beliau. Buku Bolehkah Bercouple setebal 167 muka surat terbahagi kepada lapan bab itu merangkumi pelbagai persoalan termasuk fikah cinta, pertemuan yang haram, maksiat berkaitan cinta dan sebagainya. Menarik berkenaan buku ini, Mohammad Nidzam turut menyentuh hubungan khidmat pesanan ringkas (SMS), berbuat di telefon, chatting dan sebagainya yang merupakan alat komunikasi pada zaman moden. Walaupun ia harus tetapi jika melanggar syariat Islam, kemudahan itu boleh mendatangkan hukum haram. Namun dalam Islam, perkara yang perlu dijaga ialah kandungan SMS dengan isinya perlulah perkara baik dan wajar. Huraian padat dan kreatif, penulisan Mohammad Nidzam ini dilihat pada waktunya dalam mendidik anak muda daripada terlibat hubungan terlarang dan akhirnya menyebabkan lahirnya anak luar nikah. Kesedaran Jiwa Dalam majlis itu, sebuah buku terbaru bertajuk Angguk Geleng Himpunan Kisah Dakwah Satira turut diperkenalkan bagi bacaan orang ramai. Menurut penulisnya, Husna Hassan, kisah-kisah yang dipaparkan menerusi buku itu sebenarnya bertujuan untuk mengajak manusia dengan bijak dan hikmah selain diberikan makna tersirat di sebalik tersurat. Berbekal usaha dan niat murni, jelas Husna buku berkenaan dapat mengimbangi emosi dan pemikiran untuk dunia dan akhirat melalui paparan kisah untuk memberi kesedaran jiwa dan minda. "Paparan kisah dalam keadaan bersahaja tetapi mampu membuat kita seolah mengiyakan kebenaran dan menyentak kota fikiran sehingga mengakui kebenaran kisah dipersembahkan. "Selain itu, ia menyajikan kisah-kisah yang boleh dijadikan teladan dalam kehidupan seharian," jelas beliau. Dalam situasi, manusia sentiasa yang degil, keras kepala dan hari, hati mereka hanya dapat dilunakkan dan dilembutkan melalui kisah-kisah motivasi dan pendekatan dakwah. Himpunan kisah tauladan dan motivasi garapan bersama Husna dan Pahrol Mohammad Juoi sesuai dibaca oleh segenap lapisan masyarakat dalam mendidik jiwa umat untuk mendekati ilahi selain merebut keredaan Allah. Setebal 257 muka surat yang terbahagi kepada empat coretan itu mengumpulkan pelbagai kisah tauladan yang bakal membawa sinar baru jika sesiapa membacanya. Bolehkah Bercouple? dan Angguk Geleng Himpunan Kisah Dakwah Satira masing-masing berharga RM18 dan RM22 itu boleh didapati di pasaran berhampiran anda atau boleh menghubungi Telaga Biru Sdn. Bhd. menerusi talian 03-6275 4070 untuk maklumat lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan