Translate

Sabtu, 30 Mac 2013

Bajau Palahu dulu di laut, kini di darat

SAAT terpandang sekumpulan anak kecil bermain di laut, terlintas di fikiran penulis untuk bertanya kepada pengemudi bot asal-usul kumpulan anak kecil itu. Namun belum sempat penulis bertanya, pemandu bot itu seolah-olah dapat membaca fikirannya terus berkata, itulah perkampungan orang Bajau Laut. Terdetik rasa kagum penulis melihat perkampungan Bajau Laut yang turut dikenali Bajau Palahu. Rumah mereka didirikan di atas air berhampiran pantai yang dihubungkan titi kayu yang kelihatan berselirat. Aktiviti manusia juga jelas dengan anak kecil dalam lingkungan umur antara 4 hingga 8 tahun sudah pandai menunjukkan kehebatan berenang di laut, manakala golongan remajanya mahir mengendalikan perahu dan bot ikan. Masyarakat Bajau Laut merupakan golongan nomad laut yang hidup di laut terbuka, tetapi kini beralih kepada kehidupan ke darat selaras dengan arus permodenan. Di sebuah perkampungan Bajau Laut, yang dikenali sebagai Singamata dengan jumlah 100 penduduk dan diasaskan sejak ratusan tahun lalu, penulis mendapati, walaupun masyarakat ini hidup berpindah dekat ke daratan namun kehidupan mereka masih bergantung kepada laut. Hidupan laut Penghuninya bergantung kehidupan kepada hasil laut. Mereka sangat berdikari dan tidak mengharapkan bantuan daripada suku kaum lain. Menurut seorang penduduk kampung Kapita Masta, 36, rata-rata penduduk Bajau Laut bergantung kepada hidupan laut. Ada antara mereka yang berjinak-jinak dengan industri ternakan ketam dan perusahaan rumpai laut. Lelaki sasa berkulit gelap itu mewarisi perusahaan rumpai laut keluarga sejak sedekad lalu yang menjadi sumber mata pencariannya. Dalam sebulan saya memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM3,000, itu sudah memadai bagi kami,” katanya kepada penulis melalui seorang jurubahasa. Menurut Kapita, rata-rata masyarakat Bajau Laut sudah berhijrah dan tidak tinggal di perkampungan di tengah-tengah laut. Sebaliknya mereka mendirikan perkampungan air seperti di Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Halo. Jika sebelum ini kebanyakan masyarakat Bajau Laut lebih selesa tinggal di perkampungan di tengah laut dan menjalani kehidupan seharian di bot-bot atau perahu kecil, kini trend itu semakin pudar. Dengan inisiatif kerajaan, masyarakat Bajau Laut di beberapa pulau di Semporna telah berhijrah ke perkampungan air yang didirikan kerajaan. Kepada Sani Jon, 21, yang menetap di perkampungan Bangau-Bangau sejak berusia 11 tahun, kehidupan lampau keluarganya yang membina penempatan di tengah laut berhampiran Pulau Bum Bum kini tinggal sejarah. Sani turut menceritakan cara beliau diasuh oleh bapanya mengikut tradisi orang Bajau Palahu. Semasa berumur tiga tahun dia dicampak oleh bapanya ke tengah laut untuk belajar berenang. “Itu merupakan tradisi orang Bajau Laut. Mereka akan membiarkan anak-anak mandi di tengah laut, saya jamin kebanyakan orang Bajau Laut memang pandai berenang,” ujarnya. Menurut Sani, apabila umurnya mencecah 10 tahun beliau diajar oleh bapanya untuk mengendalikan perahu dan bot kecil bertujuan menangkap hasil laut. Kebanyakan orang Bajau Laut kurang mementingkan pendidikan sebaliknya lebih memfokuskan kepada tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Sani sendiri menjadi nelayan seawal usia 17 tahun selepas kematian bapanya, sekali gus mengambil alih tugas untuk menyara keluarga. Sementara itu, semasa meninjau perkampungan Bangau-Bangau, penulis sempat melihat beberapa penduduk yang terdiri daripada masyarakat Bajau Laut yang gigih membaik pulih jambatan usang selain membantu membaiki bumbung rumah yang rosak. Jirikun Borneo, 54, memberitahu, perkampungan air Bangau-Bangau yang dibangunkan sejak 25 tahun lalu membayangkan evolusi yang dilalui masyarakat Bajau Laut itu sendiri. Ketika diajukan pertanyaan oleh penulis mengenai mitos masyarakat Bajau Laut naik ke darat, kebanyakan mereka akan mengalami pening kepala dan loya, Jirikun tidak menyangkal dakwaan itu. Beliau menceritakan pengalamannya dan beberapa penduduk asal Kampung Bangau-Bangau ketika berhijrah ke perkampungan baharu itu, beliau mengalami sakit kepala yang teruk dan sering muntah-muntah. “Semasa tiba di daerah Semporna, saya berjalan terhuyung-hayang, lepas itu saya turut mengalami pening kepala yang amat teruk selama sebulan,” katanya. Dengan peralihan masa, masyarakat Bajau Laut boleh menerima pembangunan di samping tinggal di darat lalu meninggalkan warisan mereka sebagai nomad laut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan