Translate

Sabtu, 30 Mac 2013

Bajau Palahu dulu di laut, kini di darat

SAAT terpandang sekumpulan anak kecil bermain di laut, terlintas di fikiran penulis untuk bertanya kepada pengemudi bot asal-usul kumpulan anak kecil itu. Namun belum sempat penulis bertanya, pemandu bot itu seolah-olah dapat membaca fikirannya terus berkata, itulah perkampungan orang Bajau Laut. Terdetik rasa kagum penulis melihat perkampungan Bajau Laut yang turut dikenali Bajau Palahu. Rumah mereka didirikan di atas air berhampiran pantai yang dihubungkan titi kayu yang kelihatan berselirat. Aktiviti manusia juga jelas dengan anak kecil dalam lingkungan umur antara 4 hingga 8 tahun sudah pandai menunjukkan kehebatan berenang di laut, manakala golongan remajanya mahir mengendalikan perahu dan bot ikan. Masyarakat Bajau Laut merupakan golongan nomad laut yang hidup di laut terbuka, tetapi kini beralih kepada kehidupan ke darat selaras dengan arus permodenan. Di sebuah perkampungan Bajau Laut, yang dikenali sebagai Singamata dengan jumlah 100 penduduk dan diasaskan sejak ratusan tahun lalu, penulis mendapati, walaupun masyarakat ini hidup berpindah dekat ke daratan namun kehidupan mereka masih bergantung kepada laut. Hidupan laut Penghuninya bergantung kehidupan kepada hasil laut. Mereka sangat berdikari dan tidak mengharapkan bantuan daripada suku kaum lain. Menurut seorang penduduk kampung Kapita Masta, 36, rata-rata penduduk Bajau Laut bergantung kepada hidupan laut. Ada antara mereka yang berjinak-jinak dengan industri ternakan ketam dan perusahaan rumpai laut. Lelaki sasa berkulit gelap itu mewarisi perusahaan rumpai laut keluarga sejak sedekad lalu yang menjadi sumber mata pencariannya. Dalam sebulan saya memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM3,000, itu sudah memadai bagi kami,” katanya kepada penulis melalui seorang jurubahasa. Menurut Kapita, rata-rata masyarakat Bajau Laut sudah berhijrah dan tidak tinggal di perkampungan di tengah-tengah laut. Sebaliknya mereka mendirikan perkampungan air seperti di Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Halo. Jika sebelum ini kebanyakan masyarakat Bajau Laut lebih selesa tinggal di perkampungan di tengah laut dan menjalani kehidupan seharian di bot-bot atau perahu kecil, kini trend itu semakin pudar. Dengan inisiatif kerajaan, masyarakat Bajau Laut di beberapa pulau di Semporna telah berhijrah ke perkampungan air yang didirikan kerajaan. Kepada Sani Jon, 21, yang menetap di perkampungan Bangau-Bangau sejak berusia 11 tahun, kehidupan lampau keluarganya yang membina penempatan di tengah laut berhampiran Pulau Bum Bum kini tinggal sejarah. Sani turut menceritakan cara beliau diasuh oleh bapanya mengikut tradisi orang Bajau Palahu. Semasa berumur tiga tahun dia dicampak oleh bapanya ke tengah laut untuk belajar berenang. “Itu merupakan tradisi orang Bajau Laut. Mereka akan membiarkan anak-anak mandi di tengah laut, saya jamin kebanyakan orang Bajau Laut memang pandai berenang,” ujarnya. Menurut Sani, apabila umurnya mencecah 10 tahun beliau diajar oleh bapanya untuk mengendalikan perahu dan bot kecil bertujuan menangkap hasil laut. Kebanyakan orang Bajau Laut kurang mementingkan pendidikan sebaliknya lebih memfokuskan kepada tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Sani sendiri menjadi nelayan seawal usia 17 tahun selepas kematian bapanya, sekali gus mengambil alih tugas untuk menyara keluarga. Sementara itu, semasa meninjau perkampungan Bangau-Bangau, penulis sempat melihat beberapa penduduk yang terdiri daripada masyarakat Bajau Laut yang gigih membaik pulih jambatan usang selain membantu membaiki bumbung rumah yang rosak. Jirikun Borneo, 54, memberitahu, perkampungan air Bangau-Bangau yang dibangunkan sejak 25 tahun lalu membayangkan evolusi yang dilalui masyarakat Bajau Laut itu sendiri. Ketika diajukan pertanyaan oleh penulis mengenai mitos masyarakat Bajau Laut naik ke darat, kebanyakan mereka akan mengalami pening kepala dan loya, Jirikun tidak menyangkal dakwaan itu. Beliau menceritakan pengalamannya dan beberapa penduduk asal Kampung Bangau-Bangau ketika berhijrah ke perkampungan baharu itu, beliau mengalami sakit kepala yang teruk dan sering muntah-muntah. “Semasa tiba di daerah Semporna, saya berjalan terhuyung-hayang, lepas itu saya turut mengalami pening kepala yang amat teruk selama sebulan,” katanya. Dengan peralihan masa, masyarakat Bajau Laut boleh menerima pembangunan di samping tinggal di darat lalu meninggalkan warisan mereka sebagai nomad laut.

20 tahun hidup tanpa wang

LELAKI ini telah lebih 20 tahun menyerahkan hidupnya tanpa menggunakan sebarang wang dan tinggal di dalam gua seperti orang pada zaman Batu. Daniel Suelo, 51, menggunakan semua wangnya sebanyak RM90 di sebuah pondok bagi memulakan memulakan hidup baharu di sebuah gurun di Moab, Utah, Amerika Syarikat (AS). Kehidupannya menjadi inspirasi kepada ribuan rakyat AS yang kini menderita akibat kegawatan ekonomi negara yang mendapat jolokan Uncle Sam itu. Menurut Mark Sundeen, seorang penulis buku dan rakan Suelo, dia telah menulis buku biografi berkenaan rakannya itu selepas bersamanya selama beberapa tahun. Penulis buku yang bertajuk The Man Who Quit Money itu mengakui dia terputus hubungan dengan Suelo selama beberapa tahun sebelum mendengar rakannya hidup tanpa wang sambil berfikir rakannya sudah gila atau menghidap penyakit mental. Namun, selepas berlaku kegawatan ekonomi pada 2008, Sundeen mula cuba untuk memahami cara rakannya itu. "Sistem kewangan kita terlalu kompleks membuatkan pakar kewangan tidak mampu mengawalnya sehinggakan kita seakan-akan menjadi hamba kepadanya lagi buruk kita tidak mampu untuk mengawalnya. "Secara fakta, kehidupan manusia memerlukan wang sehingga untuk mendapatkannya kita menodai nilai-nilai kemanusiaan," ujarnya. Menurut blog Suelo, dia mencatat falsafah hidupnya: "Saya tidak menggunakan wang atau melakukan sistem barter untuk meneruskan hidup. Buang pasport "Matlamat saya hanyalah mengoptimumkan sumber semula jadi untuk memenuhi keperluan semasa sedangkan sistem kini direka membuatkan manusia mengejar wang semata-mata," katanya. Tegasnya, sistem kapitalis membuatkan sesiapa sahaja perlu mengikutinya dan bersalah untuk meninggalkannya. Selain tidak lagi menggunakan wang, dia membuang pasport yang dimiliki selain menukar namanya Shellabarger kepada Suelo. Sejak itu, dia tinggal di gua atau khemah sambil ditemani haiwan liar atau menetap di rumah individu yang tidak dikenali. Untuk beberapa tahun, dia menetap dalam gua di Taman Negara Arches, Utah. Alas tilam Suelo hanyalah batu, berburu haiwan untuk makan dan minum air gua. Dia juga mempelawa sesiapa sahaja untuk menetap bersamanya dan menu makanan utama hanya bunga-bungaan dan biji kaktus. Suelo bukan dilahirkan dalam keluarga nomad atau gipsi sebaliknya berasal daripada persekitaran normal. Semasa menuntut di universiti Suelo percaya wang tidak boleh membeli segalanya termasuk menguasai dirinya. "Dia ingin individu lain mengikuti jejak langkahnya selain membuktikan kepada dunia bahawa dia boleh hidup tanpa melakukan sebarang urus niaga berkaitan wang," kata rakannya Damian Nash. "Hidup saya berubah sama sekali. Saya pernah mendapat kembali cukai pendapatan berbentuk cek pada 2001 tetapi cek itu dikoyakkan. "Semua itu tidak mempunyai erti dan hidup sebegini lebih tenang dan mendamaikan," katanya.

Tahi lembu jadi pewangi

BAYANGKAN, sisa buangan daripada lembu, boleh menjadi pewangi udara. Secara logiknya, mana mungkin najis haiwan herbivor ini boleh menjadikan udara di sekeliling kita menjadi nyaman dan segar. Biasanya, tahi lembu yang berbau busuk ini lebih banyak digunakan sebagai baja organik oleh petani-petani di negara ini. Bagi negara India pula, mereka menggunakan tahi lembu sebagai bahan bakar. Tahi lembu juga dijadikan ketulan mampat yang digunakan untuk membina rumah. Namun, kajian yang dilakukan oleh dua orang pelajar daripada Sekolah Tinggi Indonesia, Dwi Nailul Izzah dan Rintya Aprianti Miki berjaya menghasilkan pewangi udara daripada tahi lembu. Dua pelajar ini akan mewakili Indonesia ke pertandingan The International Environment Project Olympiad (INEPO) yang akan berlangsung pada Mei ini di Istanbul, Turki. Mereka merupakan peserta pertandingan Projek Sains Olympiad Indonesia yang berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Pertandingan disertai oleh hampir 1,000 orang peserta di seluruh Indonesia. Syarat untuk menyertai pertandingan ini ialah, para peserta perlu menggunakan bahan yang mudah didapati di semua negara dan tidak bermusim. Jadi, kedua-dua pelajar itu telah memilih tahi lembu sebagai bahan asas penyelidikan mereka. Pewangi yang dicipta oleh dua pelajar daripada Sekolah Menengah Agama Muhammadiyah ini sangat mesra alam dan berbau seperti herba. Menurut Nailul, haruman yang dihasilkan mereka mempunyai bau semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan. "Haruman ini mempunyai bau tumbuhan tulen yang menjadi makanan lembu dan bukan kerana bantuan bahan kimia untuk menjadikannya wangi," ujarnya. Nailul dan Rintya melakukan kajian dari aspek pemasaran untuk mengetahui potensi produk yang mereka hasilkan itu boleh dipasarkan.Rintya berkata pewangi tahi lembu ini sangat berpotensi untuk dipasarkan kerana kosnya adalah sangat murah, iaitu RM6.70 untuk setiap pek 225 mililiter. “Selain harganya yang murah, pewangi ini juga tidak mengandungi bahan kimia seperti benzo acetat yang berbahaya untuk manusia,” jelas Rintya. Proses untuk menghasilkan pewangi ini dimulakan dengan mengumpul tahi lembu untuk proses penapaian. Tahi lembu berkenaan diambil dari ladang lembu yang terletak di Rempit Kabupaten, Jawa Timur. Tahi lembu yang dikumpulkan akan ditapai selama tiga hari. Air yang terhasil daripada proses penapaian ini akan diambil dan dicampurkan dengan air kelapa. Air yang sudah bercampur berkenaan akan diekstrak melalui proses penyulingan secara berperingkat selama tujuh hari. Proses tersebut dilakukan untuk membuang bahan kotor yang terdapat dalam sisa buangan lembu ini. Hasil daripada proses ini, air tersebut berbau seperti rumput segar. Nailul memberitahu bahawa mereka akan mendaftarkan ciptaan mereka ini di bawah Hak Harta Intelek (IPR) kerana tiada lagi produk yang sama didaftarkan. “Jadi, kita ada peluang yang besar untuk mendapatkan hak cipta,” jelas Nailul.

5,000 warga Filipina larikan diri

MANILA - Hampir 5,000 warga Filipina telah melarikan diri dari Sabah sejak pasukan keselamatan Malaysia melancarkan serangan ke atas pengganas Sulu yang diketuai oleh Jamalul Kiram III, jelas Lembaga Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina semalam. Agensi itu menyatakan telah merekod ketibaan 4,983 individu dewasa dan kanak-kanak di gugusan kepulauan selatan negara tersebut. Pengarah eksekutif yang bertanggungjawab menjaga kebajikan pelarian itu, Paslur Abdullah memberitahu jumlah keseluruhan mungkin jauh lebih tinggi kerana ada yang tidak mendaftar. "Mereka tiba dengan menaiki bot-bot kecil. Kebanyakannya masuk ke sini tanpa mendaftar dan tinggal bersama saudara-mara masing-masing. Kami tidak boleh menahan mereka," kata Abdullah. Kira-kira 200 orang pengikut Kiram dengan sebahagian daripada mereka bersenjata tiba di Lahad Datu, Sabah pada Februari untuk menuntut Sabah daripada kerajaan Malaysia. Pertempuran di antara kedua-dua belah pihak telah mengakibatkan lebih 60 pengganas dan sepuluh anggota keselamatan Malaysia terkorban. Sebelum ini, Presiden Filipina, Benigno Aquino menyatakan kebimbangan ketegangan itu boleh menjejaskan ratusan ribu warga Filipina yang bekerja di Sabah.

Pemandu maut leher tertusuk besi

SEREMBAN - Seorang wanita maut dalam keadaan tragis apabila lehernya tertusuk sebatang besi sepanjang setengah meter yang terpelanting dari sebuah lori ketika sedang memandu di Jalan Batu 8, Kampung Nyatoh di sini semalam. Dalam kejadian pukul 10.45 pagi itu, V. Inthirani, 50, maut di tempat kejadian. Adik mangsa, V. Thilaga, 32, berkata, ketika kejadian, dia bersama kakaknya yang memandu kereta Perodua Viva dalam perjalanan dari Rantau untuk pulang ke rumah di Taman Bunga Sejati kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian. Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, mereka berselisih dengan sebuah lori satu tan yang tidak membawa muatan. "Sebaik berselisih, saya melihat satu objek panjang berwarna hitam tiba-tiba terpelanting dari lori terbabit sebelum ia menembusi cermin hadapan kereta kami menyebabkan kereta kami terpusing sebelum berhenti di tepi jalan. "Kemudian saya lihat kakak berlumuran darah sambil memegang besi yang terpacak di lehernya," katanya. Melihat keadaan mangsa yang nazak, dia menjerit meminta tolong sebelum beberapa pengguna jalan raya dan penduduk datang membantu.

Pengganas Sulu lepas geram

LAHAD DATU - Kehidupan kira-kira 1,400 penduduk di Kampung Tanjung Labian di sini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila mereka terpaksa menghadapi masa depan suram dan beban hutang gara-gara pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari lalu. Selepas sebulan meninggalkan rumah dan menghuni pusat pemindahan ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu, sebahagian penduduk dibawa memasuki kawasan kampung itu sebelum dikejutkan dengan penemuan banyak harta masing- masing yang musnah terbakar atau dirosakkan. Tidak cukup dengan rumah, kedai runcit dan bengkel kenderaan, peralatan untuk mencari sesuap nasi seperti bot nelayan turut dimusnahkan. Sedih dengan apa yang dilihat, beberapa orang penduduk meraung, menangis, menjerit, terduduk dan bertakbir. Siti Aminah Hiya, 21, berkata, kehidupannya kini sudah tidak bermakna apabila rumah yang dihuni beberapa tahun lalu musnah. Lebih memburukkan keadaan apabila bot dan enjin yang diguna oleh suami ke laut menangkap ikan turut terbakar. "Bot dan enjin ini saya dapat hasil pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM1,500 beberapa bulan lalu dan baru sekali saya bayar balik pinjaman. "Sekarang bot sudah hancur, bagaimana saya dan suami hendak mencari rezeki bayar balik pinjaman? Rumah juga dibakar dan apa yang ada sekarang hanyalah baju yang kami pakai ini," katanya.

Selasa, 26 Mac 2013

78 pengantin dikahwinkan serentak

BRASILIA - Seramai 78 pasangan pengantin telah mengambil bahagian dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai di Muzium Republik Brazil kelmarin. Majlis perkahwinan itu merupakan sebahagian daripada projek Alma Gemea edisi kelima yang ditaja oleh Jabatan Keadilan, Hak Asasi Manusia dan kewarganegaraan Persekutuan Brazil. Dianjurkan oleh badan Sekretariat Hak Asasi Manusia Brazil, ia berlangsung di sebuah auditorium di muzium berkenaan kelmarin. Kebanyakan pasangan pengantin yang mendaftar terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sangat berharap dapat dipilih untuk menyertai acara tahunan tersebut. Pasangan pengantin yang terpilih berpeluang mendapat perkhidmatan urutan badan, dandanan rambut dan solekan percuma. Sebelum majlis berlangsung, pasangan pengantin merakam gambar kenangan di luar perkarangan muzium.

Thailand bergelut kehamilan remaja

KETIKA Mallika memberitahu keadaan dirinya yang sedang mengandung, ibu bapa Mallika telah menghentikan persekolahannya. Dia kemudian diarah berkahwin dengan lelaki yang telah menyebabkan dia berbadan dua. Usianya ketika itu 17 tahun. Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak pernah terjadi, dan Mallika menjaga bayi perempuan itu sendirian. “Saya menyayangi anak saya, tetapi ketika itu saya menyembunyikannya kerana malu,” kata Mallika yang kini sudah berusia 23 tahun dan bekerja sebagai penjual pakaian buatan China di pasar minggu di Bangkok, Thailand. Dia yang tinggal di sebuah apartmen di pinggir bandar Bangkok menambah, pada masa itu, keluarga lelaki berkenaan menawarkan wang bagi menutup mulut selain meminta tidak mengganggu mereka. Ibu remaja Situasi yang dihadapi Mallika bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa. Jumlah remaja perempuan mengandung di Thailand merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara selepas Laos, menurut laporan Biro Kesihatan Reproduktif di Kementerian Kesihatan Awam Thailand. Meskipun, kadar keseluruhan kelahiran di negara Gajah Putih itu jatuh, namun dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan. Daripada 1,000 kelahiran, 54 merupakan ibu remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun. Peratusan tersebut lebih tinggi daripada Amerika Syarikat dan 10 kali ganda lebih tinggi daripada Singapura. Malah, jumlah tersebut naik mendadak. Bilangan kelahiran hidup bagi ibu remaja Thailand berusia antara 15 hingga 18 tahun meningkat kepada 43 peratus antara 2000 hingga 2011, berdasarkan laporan tahunan kesihatan awam Thailand. Terdapat banyak faktor penyumbang, namun pakar kesihatan menyalahkan faktor budaya sebagai penyumbang utama. Isu-isu berkaitan gender turut merumitkan keadaan. “Wanita diminta menjaga kesucian diri mereka tetapi lelaki Thai yang melakukan hubungan seks dengan ramai wanita dipandang hebat,” kata Visa Benjamano, pesuruhjaya di Majlis Hak Asasi Manusia Kebangsaan Thailand (NHRC). “Jika lelaki meniduri ramai wanita, imejnya tidak terjejas seperti yang dialami wanita. Wanita secara umumnya lebih takut membincangkan hal berkaitan hubungan seks secara terbuka,” kata Benjamano. Walaupun, pendidikan seks merupakan sebahagian daripada kurikulum sekolah kebangsaan, namun ia kurang berkesan. Menteri Pelajaran mengehadkan masa pelajaran kepada lapan jam setahun meskipun berlaku perubahan sikap golongan remaja terhadap seks. Satu laporan pada tahun 2011 oleh Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Lembangan Pembangunan Sosial dan Ekonomi Thailand (NESDB) menunjukkan bilangan wanita yang dimasukkan ke hospital berkaitan pengguguran meningkat lebih 16 peratus antara 1994 dan 2009, mencecah 60,000 pada tahun 2009. Melakukan pengguguran dilarang di Thailand kecuali kes berkaitan rogol atau sumbang mahram, menyelamatkan nyawa, fizikal atau faktor kesihatan wanita dan berumur bawah 15 tahun. Pengguguran haram Di bawah undang-undang Thai, hukuman sekiranya melakukan pengguguran haram ialah penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum 10,000 bath (RM1,000). Bagaimanapun, klinik dan pengguguran haram tetap meningkat. Pada 2010, polis Thai menjumpai 2,000 janin di kawasan kuil Buddha Bangkok dipercayai dihantar oleh klinik-klinik pengguguran haram. Penemuan itu membuatkan masyarakat Thai berada dalam dilema kerana perbuatan itu berdosa di sisi agama Buddha yang dianut oleh 95 peratus rakyat Thailand. Berbanding Filipina yang kebanyakan berfahaman Katolik, di Thailand alat atau pil pencegah kehamilan dan kondom mudah didapati dan dijual di kaunter-kaunter kedai. Namun, apabila remaja perempuan cuba membelinya masyarakat memandang serong terhadapnya.

Pelajar 17 tahun jadi jutawan

LONDON – Seorang pelajar sekolah di sini, Nick D’Aloisio yang berusia 17 tahun menjual satu aplikasi bagi membolehkan teks berita dapat dibaca menerusi telefon bimbit kepada syarikat Yahoo! dalam urus niaga yang dianggarkan sebuah akhbar bernilai sehingga AS$60 juta (RM184.1 juta). Aplikasi itu akan membolehkan D’Aloisio menjadi salah seorang jutawan termuda di dunia. Ia dicipta pada November 2012. Syarikat Yahoo! tidak mendedahkan perjanjian urus niaga itu tetapi akhbar London Evening Standard menyatakan Yahoo! akan membayar antara AS$30 juta (RM92.05) hingga AS$60 juta (RM184.1 juta). Menurut syarikat itu menerusi satu kenyataan bahawa ia teruja untuk memiliki Summly yang memudahkan maklumat diperoleh dengan pantas, mudah dan ringkas. Ketika berusia 15 tahun, D’Aloisio mencipta aplikasi Summly di rumahnya di sini. Syarikat Yahoo! menyatakan, D’Aloisio dan pasukan Summly akan menyertai syarikat itu dalam tempoh beberapa minggu lagi. D’Aloisio membuat kenyataan di Twitter dengan menyatakan: “@Summly telah menandatangani satu perjanjian untuk dimiliki Yahoo! “Teruja untuk memulakan babak baharu Summly! “Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada saya.” Akhbar London Evening Standard menyatakan, D’Aloisio pada mulanya mencipta aplikasi itu sebagai hobi. “Saya tidak menyedari ia boleh menghasilkan wang,” kata D’Aloisio. Ketika ditanya tentang pendapatannya yang besar ekoran pembelian syarikatnya, D’Aloisio berkata” “Saya suka kasut. Saya akan membeli sepasang kasut Nike dan saya mungkin memperoleh sebuah komputer baharu. “Namun, buat masa kini, saya hanya mahu menyimpan wang itu di bank. “Saya tidak perlu untuk banyak berbelanja.” D’Aloisio belajar kod komputer semasa berumur 12 tahun selepas Stor Aplikasi Apple dilancarkan. Dia kemudian mencipta beberapa aplikasi termasuk Facemood yang merupakan perkhidmatan yang menganalisis sentimen bagi menentukan mood para pengguna Facebook. Pelajar itu juga pernah mencipta aplikasi perkhidmatan mencari muzik, SongStumblr. D’Aloisio turut memberikan nasihat kepada beberapa remaja iaitu: “Jika anda mempunyai idea yang baik atau anda terdapat satu ruang kosong di dalam pasaran, terokailah dan lancarkannya kerana terdapat beberapa pelabur di seluruh dunia kini yang mencari syarikat-syarikat untuk membuat pelaburan.”

Sabtu, 23 Mac 2013

Anak dah enam, baru Brad Pitt, Angelina nak kahwin

CORRENS, Perancis - Pasangan pelakon terkenal, Brad Pitt dan Angelina Jolie didakwa bakal melangsungkan perkahwinan di sebuah pulau di Caribbean pada April depan, lapor portal hiburan Entertainmentwise kelmarin. Majalah hiburan Now pula melaporkan, Pitt, 49, dan Jolie, 37, sudah mengeluarkan belanja perkahwinan sebanyak AS$2.3 juta (RM7.1 juta). Majalah itu turut mendakwa, aktor Hollywood tersebut telah mengambil dokumen perkahwinan mereka pada Februari lalu. "Pitt dan Jolie menempah sebuah resort di Caribbean bernilai AS$760,000 (RM2.4 juta) semalam dan majlis akan berlangsung secara tertutup," kata satu sumber memberitahu majalah Now. Majlis berkenaan dilaporkan hanya mampu memuatkan 120 tetamu dan lokasinya mengadap laut. Pada Ogos tahun lalu, khabar angin bertiup kencang bahawa pasangan tersebut bakal melangsungkan perkahwinan di kediaman mereka yang bernilai AS$60 juta (RM186.8 juta) di selatan Perancis.

Mangkuk dinasti China dilelong pada harga RM6.84 juta

NEW YORK - Sebiji mangkuk berusia 1,000 tahun dari China yang dibeli pada harga AS$3 (RM9.33) di jualan garaj di sini telah dijual semula dengan harga lebih AS$2.2 juta (RM6.84 juta) di sebuah pusat lelongan. Firma lelongan Sotheby menyatakan, sebuah keluarga di New York telah membeli mangkuk yang berasal dari Dinasti Song Utara itu dengan harga kira-kira AS$3 (RM9.33) pada 2007. Namun selepas dinasihati beberapa orang pakar, pemiliknya telah menyerahkan mangkuk berkenaan untuk dilelong. Firma lelongan itu menjangkakan mangkuk tersebut akan dijual pada harga AS$200,000 (RM622,579) hingga AS$300,000 (RM933,894). Tetapi seorang peniaga dari London Giuseppe Eskenazi telah membeli mangkuk itu pada harga AS$2.2 juta termasuk bayaran komisen. Firma lelongan itu memberitahu, mangkuk yang sama dari segi rupa, saiz dan bentuk telah menjadi koleksi Muzium Britain di London sejak 60 tahun lalu.

Rabu, 20 Mac 2013

Suami mati pucuk jika isteri bergaji lebih

LELAKI yang memiliki isteri berpendapatan lebih tinggi berkemungkinan besar mengambil ubat perangsang seks kerana kurang bertenaga di bilik tidur, lapor satu kajian. Penyelidik Denmark dan Amerika Syarikat bermula dengan mengkaji gaji membabitkan data lebih 200,000 pasangan suami isteri. Ia mendedahkan, pil dan ubat bagi mengatasi masalah mati pucuk lain lebih popular di kalangan pasangan yang isteri menerima gaji lebih tinggi. Kesannya juga dapat dilihat pada keluarga yang isteri memiliki pendapatan cuma sedikit lebih tinggi daripada suami. Kajian yang dijalankan oleh seorang profesor di Universiti Washington, Amerika Syarikat (AS), Lamar Pierce mendapati, perbezaan gaji antara suami dan isteri tidaklah terlalu ketara dan dilaporkan lelaki yang mempunyai isteri bergaji tinggi cenderung mengambil ubat perangsang seks sebanyak 10 peratus. "Malah perbezaan kecil dalam pendapatan dikaitkan dengan risiko besar penggunaan ubat mati pucuk apabila wanita menjadi penyumbang utama dalam rumah tangga berbanding lelaki. "Perbezaan gaji sebanyak £10,000 (RM47,095) yang memihak kepada wanita, menggandakan penggunaan ubat seks. Menariknya, fenomena itu tidak dilihat pada pasangan yang selalunya memiliki pendapatan lebih tinggi. Sebaliknya, ia terhad kepada perkahwinan yang isteri mengambil alih kedudukan itu daripada suami. "Ia menunjukkan rasa hilang harga diri menjadi punca keadaan itu," lapor Pierce yang diterbitkan dalam Buletin Personality and Social Psychology baru-baru ini. Wanita beri nafkah Pierce memberitahu, peningkatan wanita menjadi penyumbang utama rezeki mencabar peranan tradisi lelaki sebagai pencari nafkah dan meletakkan mereka di bawah tekanan psikologi. "Kehendak seksual lelaki dikaitkan dengan budaya dan faktor sosial seperti kuasa bapa, wang dan rangkaian sosial. Keadaan itu boleh menyebabkan lelaki sukar terangsang atau (alat kelamin) tidak berfungsi apabila mendapati peranan tradisi mereka dirampas. "Kemarahan dan kekecewaan juga boleh membawa kepada masalah seksual serius seperti mati pucuk," ujarnya. Dalam tempoh 20 tahun lalu, peratusan isteri di AS yang bergaji tinggi meningkat daripada empat peratus kepada 22 peratus berdasarkan kajian yang dijalankan. Kajian terbaharu itu memfokuskan kepada dua kategori data iaitu maklumat demografi dan preskripsi ubatan untuk populasi berkenaan. Berdasarkan data yang diperoleh pada tahun 1997 hingga 2006, sebanyak 569,000 pasangan berumur lingkungan 25 hingga 49 tahun, kedua-duanya bekerja secara sepenuh masa. Kata Pierce, lelaki yang bergaji rendah menerima kesan psikologi disebabkan perbezaan pendapatan. Sebagai contoh, Pierce mendapati bahawa lelaki yang mempunyai isteri bergaji tinggi lebih cenderung mengambil ubat-ubatan untuk insomnia dan kemurungan berbanding situasi di mana lelaki adalah sebagai pencari nafkah utama. Kajian turut dijalankan oleh profesor pemasaran di Universiti Minnesota Carlson School of Management, Kathleen Vohs yang mendapati, terdapat dua penjelasan yang mungkin iaitu ia mengancam lelaki untuk menjadi lebih baik daripada isteri mereka dan ancaman yang dibawa sepanjang jalan ke bilik tidur. "Satu lagi penjelasan ialah suami mungkin menggunakan ubat perangsang seks sebagai satu cara untuk menjamin bahawa dia tidak tertekan ketika di bilik tidur," jelasnya yang menjalankan penyelidikan terhadap kesan pendapatan pada psikologi manusia. Ujar Pierce, ramai lelaki berbangga mempunyai pasangan yang berpendapatan lebih. Bagaimanapun, ia adalah penting bagi pasangan untuk berfikir tentang perkara itu sebelum mereka berkahwin, dan untuk berkahwin dengan seseorang yang mempunyai potensi pendapatan yang lebih pada masa sekarang dan hadapan

Serangan siber berlaku di Korea Selatan

SEOUL - Rangkaian komputer di dua bank utama dan tiga stesen penyiaran televisyen terkenal di negara ini digodam semalam. Serangan tersebut menyebabkan mesin-mesin pengeluaran dan memasukkan wang lumpuh di seluruh Korea Selatan. Agensi Keselamatan Maklumat menyatakan, serangan siber itu berlaku pada pukul 2 petang waktu tempatan apabila imej tengkorak muncul pada sejumlah skrin komputer. Menurut pihak polis dan para pegawai Korea Selatan yang menyiasat kes itu menyatakan punca serangan tersebut masih belum jelas. Namun, terdapat spekulasi bahawa serangan siber itu dilakukan oleh Korea Utara. Sebahagian komputer mula beroperasi selepas lebih dua jam dan 30 minit tergendala. Kejadian itu berlaku selepas Korea Utara dikenakan sekatan barang mewah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana melakukan ujian nuklear pada Februari lalu. Sebuah kumpulan yang tidak dikenali yang bernama Whois Team mengaku menggodam komputer-komputer itu. Komputer-komputer yang terjejas itu ialah milik rangkaian televisyen YTN, MBC dan KBS. Ia turut menjejaskan komputer Bank Shinhan dan NongHyup. Di sebuah kedai kopi Starbucks di sini, para pelanggan diminta untuk membayar tunai manakala terdapat barisan di mesin-mesin pengeluaran dan memasukkan wang semasa kejadian tersebut berlaku. Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan, ekoran kejadian itu, pihak tentera meningkatkan tahap berjaga-jaga berhubung serangan siber. Bagaimanapun, para pegawai pertahanan melaporkan tiada tanda-tanda serangan siber berlaku pada rangkaian komputer kementerian tersebut

Tentera Malaysia didakwa mahu bunuh Jamalul Kiram

MANILA - Tentera Malaysia didakwa merancang untuk membunuh pemimpin pengganas Sulu, Jamalul Kiram III dan para pengikutnya, lapor akhbar Philippine Daily Inquirer semalam. Seorang anak perempuan kepada Jamalul Kiram, Jacel Kiram berkata, seorang peguam, Mario Lozada telah berjumpa dengan seorang lelaki bernama Sunny Ng yang dipercayai sebagai pegawai tentera Malaysia berpangkat kolonel di restoran Genting Palace di kompleks kasino Resorts World, bandar Pasay pada Isnin lalu. Menurutnya, pertemuan itu diatur oleh seorang ahli perniagaan Malaysia bernama Kenneth Lee yang mempunyai kaitan dengan sebuah firma Malaysia, tempat Lozada bekerja sebagai penasihat undang-undang. "Mereka membayangkan kepada Lozada bahawa kedatangan ke sini adalah untuk membunuh Jamalul Kiram dan para pengikutnya (termasuk penasihat Jamalul Kiram, Pastor Boy Saycon)," dakwa Jacel pada satu sidang media di kediamannya di bandar Taguig. Jacel berkata, Biro Siasatan Kebangsaan dan beberapa pegawai tentera Filipina memberi komitmen untuk menyiasat dakwaan untuk membunuh Jamalul Kiram. "Malaysia berani untuk bertindak radikal kerana kenyataan Presiden Filipina, Benigno Aquino III yang pro-Malaysia," katanya. Kelmarin, jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani mendakwa Ng dan empat orang 'komando' telah tiba di negara ini. Menurutnya, mereka mahu membunuh Jamalul Kiram dan para pengikutnya. Idjirani turut mendakwa Ng mengupah tiga anggota Tentera Rakyat Baharu untuk melakukan misi tersebut. Sebelum ini Jacel pernah menipu dengan menunjukkan sekeping gambar palsu yang didakwanya sebagai anggota keselamatan Malaysia yang mati selepas bertempur dengan pengikut bapanya. Menurut akhbar dalam talian GMA News, gambar itu sebelum ini telah diterbitkan di muka hadapan akhbar Philippine Star. Selepas dimaklumkan oleh beberapa orang pembaca, pihak GMA News kemudian turut mengesahkan imej tersebut sebenarnya palsu. Gambar itu merupakan askar-askar Thailand yang terkorban pada tahun 2007 yang disiarkan di internet. Sementara itu,Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin ketika dihubungi Kosmo! menerusi kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) menyifatkan tuduhan terbaharu itu sebagai mengarut.

Khamis, 14 Mac 2013

Duit syiling China kuno ditemui di Kenya

CHICAGO - Sepasukan saintis dari Illinois, Amerika Syarikat menemui sekeping duit syiling China kuno berusia 600 tahun di Pulau Manda, di Kenya. Penemuan yang jarang berlaku itu diumumkan oleh Muzium Field di sini kelmarin. Syiling itu ditemui dalam satu ekspedisi bersama yang diketuai pegawai muzium berkenaan, Chapurukha Kusimba dan penyelidik Universiti Illinois-Chicago, Sloan Williams. Penemuan tersebut, kata mereka, membuktikan bahawa perdagangan antara China dan rantau timur Afrika telah wujud sejak beberapa dekad sebelum benua itu ditemui oleh pelayar Eropah. Syiling kuno itu dibuat daripada campuran perak dan gangsa. Duit tersebut juga mempunyai lubang di tengah supaya ia boleh dipakai pada tali pinggang. Pasukan saintis itu memberitahu, syiling bersejarah itu dikeluarkan semasa pemerintahan Maharaja Yongle di China. Nama Yongle tertera pada duit tersebut. Ekspedisi berkenaan turut disertai oleh saintis dari Kenya, Pennsylvania dan Ohio. Mereka juga menemui beberapa rangka manusia dan artifak lain yang lebih tua daripada syiling itu.

36 pengikut Azzimuddie akan didakwa di Filipina

MANILA - Seramai 36 orang pengikut ketua gerombolan pengganas Sulu di Sabah, Azzimuddie Kiram yang ditahan oleh Tentera Laut Filipina selepas melarikan diri dari Sabah pada pagi kelmarin akan didakwa kerana memiliki senjata haram, kata Setiausaha Kehakiman Leila de Lima semalam. Menurut laporan akhbar Philippine Daily Inquirer, De Lima berkata, 35 orang lelaki dan seorang wanita yang mendakwa sebagai anggota Tentera Kesultanan Sulu itu akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan tersebut. "Mereka boleh dikenakan tuduhan kerana memiliki senjata api dan senjata berbahaya," kata De Lima pada satu sidang media di Istana Malacanang. Ketika mengulas kritikan yang mendakwa pemerintah bertindak menfailkan pertuduhan terhadap para pengikut itu dengan cepat berbanding membantah layanan tidak berperikemanusiaan oleh Malaysia terhadap warga Filipina, de Lima berkata: "Kumpulan itu telah melakukan tindakan menyalahi undang-undang dan perbuatan jenayah menyebabkan kita tidak boleh mengetepikan mereka." Kelmarin, dua buah bot peronda Tentera Laut Filipina berjaya memintas dua bot yang membawa 36 pengikut Azzimuddie termasuk seorang wanita yang memasuki perairan Filipina dari Sabah. Ketika pemeriksaan, kedua-dua bot itu didapati membawa sejumlah senjata api termasuk M16 dan senapang patah. Salah seorang penumpang turut dilaporkan cedera. De Lima berkata, semua penumpang memperkenalkan diri mereka sebagai Tentera Kesultanan Sulu. Bot peronda tentera laut Filipina memintas sebuah bot yang membawa 18 orang penumpang termasuk seorang wanita di perairan Pulau Omapoy kira-kira pukul 6.35 pagi. Kira-kira sejam selepas itu sebuah bot lagi yang membawa 18 penumpang dipintas di perairan Pulau Andulingan. Mereka melarikan diri dari Sabah selepas berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan dengan para pengikut Azzimuddie yang merupakan adik Jamalul Kiram III. Pertempuran itu berlaku selepas para pengganas Sulu tersebut menceroboh Sabah pada 12 Februari lalu dengan alasan untuk menuntut tanah nenek moyang Kesultanan Sulu. Namun, Azzimuddie bukan antara yang ditahan. Menurut De Lima, beliau tidak tahu sama ada pegawai penyiasat memperoleh sebarang maklumat mengenai kedudukan Azzimuddie. "Daripada semua petunjuk itu, mereka kemungkinan adalah saki-baki pengikut ke Sabah dan selepas diserang pasukan keselamatan Malaysia mereka pulang ke sini," katanya. Kesemua mereka kini ditempatkan di sebuah kem tentera laut di bandar Panglima Sugala di Tawi-Tawi dan disoal siasat oleh para pegawai Biro Siasatan Kebangsaan dan polis.

Isnin, 11 Mac 2013

Bieber batal konsert di Portugal <------- KLIK

LISBON - Penyanyi terkenal Kanada, Justin Bieber membatalkan satu daripada dua konsertnya di Portugal yang dijadualkan berlangsung pada minggu ini, menurut promoternya. Menurut laman promoter muzik penyanyi itu kelmarin, Bieber membatalkan konsertnya yang dijadualkan berlangsung pada Selasa depan di sini. Promoter itu menyatakan, konsert Bieber akan diadakan pada hari ini. Sebuah akhbar Portugal menyatakan, konsert pada hari pertama telah habis dijual. Namun, jualan tiket untuk konsertnya esok digantung kerana sambutan yang tidak menggalakkan. Semasa berada di London, penyanyi berkenaan telah menimbulkan kemarahan sejumlah peminatnya kerana lewat tiba di Arena O2. Bieber juga menghadapi kesukaran bernafas yang menyebabkan dia terhenti seketika semasa membuat persembahan pada Khamis lalu. Dia kemudian dimasukkan ke sebuah hospital untuk menjalani rawatan sebelum penyanyi itu membuat persembahan pada Jumaat lepas. Penyanyi yang berusia 19 tahun itu juga berbalah dengan seorang jurugambar di luar hotel penginapannya di London. Rakaman video yang menunjukkan dia memarahi jurugambar itu disiarkan di saluran Channel 5 News dan disiarkan di media Britain pada Jumaat lalu. Seorang anggota keselamatan penyanyi itu bertindak menghalang Bieber daripada berbalah dengan jurugambar tersebut. "Kadangkala apabila terdapat orang yang berasak-asak menghalakan kamera ke arah muka anda pada setiap hari dan menjerit perkara yang teruk ke arah anda...saya juga manusia. Minggu yang sukar," katanya di sebuah laman rangkaian sosiaL

Ribut debu landa Tokyo

TOKYO, Jepun - Ribut debu melanda bandar raya ini semalam yang menyebabkan langit menjadi gelap yang pada kebiasaannya cerah. Jarak penglihatan turut terbatas ketika partikel-partikel halus berterbangan di udara. Seorang ahli meteorologi berkata, fenomena itu disebabkan oleh perpindahan udara sejuk dan ia tidak mempunyai kaitan dengan pencemaran yang melanda Beijing, China semasa musim sejuk yang lalu. "Sistem tekanan rendah sedang berlaku di utara dan ia bergerak ke selatan. "Ia membawa ribut salji di utara dan angin kencang di Tokyo serta kawasan sekitarnya," kata ahli meteorologi itu. Menurutnya, angin kuat di wilayah Kanto yang meliputi Tokyo dan kawasan sekitarnya telah membawa partikel-partikel debu dari tanah sehingga menjejaskan jarak penglihatan. Beliau berkata, fenomena itu dijangka berlaku buat sementara manakala hujan akan membersihkan debu-debu tersebut. Menurut beberapa laporan, menteri-menteri alam sekitar dari Jepun, China dan Korea Selatan akan bertemu pada Mei depan untuk membincangkan cara untuk mengurangkan pencemaran udara.

Pengganas semakin tertekan

LAHAD DATU - Terus bersembunyi kerana tiada tempat mahu lari. Begitulah keadaan pengganas Sultan Sulu yang semakin tertekan apabila pasukan keselamatan mengetatkan lagi kawalan di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu di sini yang menjadi kubu kuat mereka sebelum ini. Dengan misi untuk memusnahkan kesemua pengganas yang semakin lemah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mendapat sokongan moral dan penambahan kekuatan sejak wilayah Sabah diceroboh pada 12 Februari lalu. Berdasarkan semangat kerjasama tersebut, penggeledahan dan pemburuan pengganas di kedua-dua kampung yang terletak tujuh kilometer antara satu sama lain terus dipertingkatkan. Keluasan kawasan yang dikuasai pasukan keselamatan di Lahad Datu ialah kira-kira 10 kilometer persegi. Pasukan keselamatan juga telah meletakkan 20 buah kapal di perairan Sabah dan menghantar tujuh batalion tentera. Selain Lahad Datu, pasukan keselamatan turut menguasai kawasan Semporna, Kunak, Tawau dan Sandakan. Bermula dengan serangan udara secara besar-besaran pada 5 Mac lalu, pasukan keselamatan terlebih dahulu menggempur kubu pengganas di Kampung Tanduo. Ekoran serangan itu, sebahagian daripada puak pengganas dipercayai melarikan diri ke Kampung Tanjung Batu. Panglima ATM, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd. Zin berkata, mengikut maklumat, saki-baki kumpulan pengganas yang dipercayai tinggal 100 orang itu sudah dikepung dan diyakini sukar melarikan diri.

Sabtu, 9 Mac 2013

&&&&& Polis Israel bertempur dengan penduduk Palestin

BAITULMUQADDIS - Ratusan penduduk Palestin bertindak bertempur dengan sejumlah anggota polis di sini semalam, kata polis. Menurut polis, penduduk itu marah dengan laporan media pada Ahad lalu berhubung tindakan polis Israel menendang dan memijak kitab al-Quran ketika sekumpulan wanita cuba menyekat mereka memasuki Masjid Al-Aqsa. Penduduk Palestin itu kemudian bertindak menyerang pihak berkuasa dengan membaling batu dan bom petrol di pekarangan masjid tersebut. Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, kira-kira 100 orang penunjuk perasaan yang kebanyakan memakai topeng bertindak menyerang polis. Polis kemudian melepaskan bom gas pemedih mata. "Bom petrol dibaling ke arah polis dan beberapa pegawai polis cedera akibat terkena batu," katanya. Rosenfeld berkata, tuduhan tersebut tidak betul dan mendakwa kitab al-Quran itu terjatuh ketika polis cuba mengalihkan sekatan kerusi oleh sekumpulan wanita.

......Suami tembak isteri selepas bertengkar

JOHOR BAHRU – Seorang suami dipercayai menembak mati isterinya selepas pasangan tersebut bertengkar di dalam rumah mereka di Jalan Anggerik 17, Taman Johor Jaya di sini kelmarin. Mangsa, Then Sui Moi (gambar kecil), 40, yang merupakan warga Indonesia mati akibat cedera terkena satu das tembakan di dada kirinya pada pukul 10.45 pagi. Seorang jiran pasangan tersebut yang enggan dikenali mendakwa, sebelum kejadian itu, dia terdengar mereka bertengkar di dalam rumah tersebut. Bagaimanapun, katanya, selang beberapa minit kemudian dia terdengar bunyi tembakan. “Pada ketika itu, saya memang tak syak apa-apa dan menganggap tembakan tersebut dilepaskan anggota berkuasa dalam operasi menembak burung gagak,” katanya ketika ditemui di sini semalam. Kosmo! difahamkan suspek yang berusia lewat 40-an terus melarikan diri selepas kejadian itu dengan sebuah kenderaan berwarna gelap yang diletakkan berdekatan kediaman.

71 ADA KAITAN DENGAN PENGGANAS DI TAHAN- LAHAD DATU

LAHAD DATU – Sebanyak 71 individu yang disyaki anggota kumpulan pengganas dan tali barut kumpulan penceroboh Sultan Sulu yang mencetuskan pergolakan di Kampung Tanduo sejak Februari lalu ditangkap pasukan keselamatan. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua individu terbabit ditangkap di dua daerah iaitu di Lahad Datu dan Semporna. Kebanyakan suspek termasuk wanita itu ditangkap di luar kawasan Kampung Tanduo. Difahamkan suspek-suspek yang dipercayai mempunyai hubungan dengan pengganas itu berketurunan Sulu tetapi menetap di Sabah. Penangkapan suspek-suspek itu dikatakan dilakukan dalam tempoh Kampung Tanduo dilanda krisis sehingga semalam. Bagaimanapun, Hamza enggan mengesahkan latar belakang atau butiran lanjut mengenai tangkapan itu. “Kita memang membuat tangkapan di Lahad Datu dan Semporna. Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan berhubung penglibatan orang-orang yang ditangkap dengan pengganas,” kata beliau ketika ditemui di sini semalam. Menurut beliau, kesemua tangkapan itu dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat termasuk daripada penduduk kampung mengenai kehadiran dan gelagat individu-individu tertentu di beberapa lokasi di kedua-dua daerah tersebut.