Translate

Isnin, 17 Disember 2012

Jenis wanita dielak lelaki

SEMEMANGNYA sukar untuk mengenal hati budi seseorang sama ada lelaki ataupun wanita pada pertemuan pertama. Masa dan ruang amat diperlukan untuk memahami perasaan dan pandangan insan yang ingin didekati itu. Tanpa komunikasi yang efektif, mungkin payah untuk seseorang meramal sifat atau perangai seseorang yang lain. Perbualan di telefon bimbit, penghantaran mesej ringkas atau e-mel sebenarnya belum cukup untuk memahami soal sikap dan sifat. Ramai pasangan kekasih mengalami kesukaran seumpama ini pada awal perhubungan. Perasaan bimbang dan curiga mungkin boleh timbul apabila memikirkan tentang pilihan yang hendak dibuat. Pesona Kosmo! minggu ini memberi panduan tentang beberapa sifat wanita untuk dijadikan panduan lelaki. pada masa yang sama, golongan wanita juga boleh bermuhasabah diri melaluinya. Wanita manja Wanita yang bersifat manja sering dilihat sebagai golongan yang suka bergantung harap dan sentiasa mempunyai keinginan tinggi untuk berkahwin. Apa yang lebih merisaukan bagi wanita jenis ini adalah lelaki sukar untuk mengenal pasti sifat sebenar mereka apatah lagi untuk menjalin hubungan yang erat. Pada awalnya, wanita ini akan berubah apabila ditegur tentang perangai manja dan sikap terlalu bergantung itu. Teguran tersebut lantas membuatkan wanita ini bersikap ultra berdikari demi membuktikan sebaliknya. Walau bagaimanapun, apabila wanita ini mula menjalin hubungan dengan seseorang dan dia berasa selamat didampingi, maka akan wujud keperluan-keperluan lain yang perlu dipenuhi si lelaki. Wanita benci lelaki Kebanyakan lelaki gemar memberi peluang kepada wanita jenis ini, malah berusaha menjalin hubungan dengan mereka kerana difikirkan lebih mencabar. Sifat wanita ini yang jauh berbeza berbanding wanita lain membuatkan lelaki mudah tertarik dengan mereka. Walau bagaimanapun, sifat mencabar dan pemarah ini juga kadangkala membuat ramai lelaki ragu-ragu meneruskan perhubungan yang lebih jauh seperti berkahwin dengan mereka. Lelaki hanya suka bergaul dengan wanita jenis ini tanpa memikirkan sebarang komitmen. Jelas, wanita ini bukan untuk jangka masa panjang. Kalau ada pun, mungkin hanya fikiran jahat untuk menjalin hubungan asmara semata-mata. Begitupun, wanita jenis ini memiliki sifat bersaing yang tinggi dan kadangkala boleh berkelakuan amat menggoda. Sebenarnya, sifat yang ditonjolkan wanita jenis ini adalah untuk melindungi dirinya daripada dilukai oleh lelaki. Wanita karier Lazimnya, ramai beranggapan bahawa golongan lelaki terancam dengan wanita berkarier atau berjaya. Sebenarnya, lelaki bukan berasa terancam untuk bersama wanita jenis ini. Sebaliknya, lelaki beranggapan bahawa wanita yang berjaya dalam kerjaya tidak memerlukan dampingan lelaki. Kebanyakan wanita yang memiliki karier yang stabil telah pun membeli kereta dan rumah untuk diri sendiri. Mereka juga mempunyai kehidupan sosial yang menyeronokkan. Dalam senario ini, kehadiran seseorang lelaki dianggap tidak mampu memberi lebih daripada apa yang mereka miliki. Namun, ramai juga lelaki yang tertarik wanita jenis ini kerana dari segi kewangan, tidak akan bergantung sepenuhnya pada mereka. Wanita banyak cakap Mengikut perspektif lelaki, wanita yang banyak bercakap mempunyai kelebihan dan kekurangan. Ada persepsi yang mengatakan wanita menggunakan lebih daripada 1,000 perkataan setiap hari berbanding golongan lelaki. Namun, ia amat bergantung kepada topik perbualan seseorang individu. Misalnya, apabila ada topik mengenai sukan maka lelaki lebih gemar berbincang tentang perlawanan, para pemain dan keputusan permainan. Sebaliknya, perbualan telah bertukar kepada topik feminin, fesyen, kosmetik dan kanak-kanak maka wanitalah yang akan banyak berkata-kata. Selalunya wanita dituduh dengan istilah 'banyak cakap' itu kerana mereka suka berbicara tentang subjek yang digemari serta ingin berkongsi. Itu tidak bermakna si dia mulut murai.

Nasib Lali bayi ajaib

KEBANYAKAN penduduk tempatan menggelarnya sebagai bayi ajaib. Apa tidaknya, Lali yang kini baru berusia lebih sebulan itu dilahirkan dengan membawa penampilan fizikal cukup aneh - memiliki dua wajah. Keadaan tersebut yang dirujuk dalam dunia perubatan moden sebagai Craniofacial Duplication menyaksikan kanak-kanak unik ini turut mempunyai dua mulut, dua hidung dan empat mata; semuanya berpasangan. Di kampung kelahirannya, bandar Noida yang terletak 50 kilometer ke timur laut ibu kota India, New Delhi; keadaan bayi itu menjadikan dirinya bukan sahaja sebagai objek yang memukau, malah dihormati. "Apabila kali pertama melihat dia dilahirkan pada 11 Mac lalu, saya sendiri cukup takut, tetapi ini memang normal bagi sesiapa pun," kata bapanya, Vinod Kumar Singh. "Kini saya rasa seperti lebih dirahmati." Beberapa doktor malah pernah memberitahunya bahawa biarpun anak itu memiliki dua muka, Lali sebenarnya masih sihat dan dianggap normal. Bayi ini mampu minum susu sama ada menerusi mulut dan bernafas baik. Kumar bagaimanapun hanyalah seorang pekerja ladang yang miskin. Namun meskipun rumahnya yang diperbuat daripada lumpur dan batu-bata di hujung lorong sempit berdebu, jiran-jiran tampil menawarkan bantuan. Tetangga mereka bahkan menyediakan cat untuk mewarnakan semula dinding luar rumah. Di bahagian dalam, penduduk kampung kelihatan mendodoi dan mengelilingi buaian manakala yang lain cuma melihat. Untuk beberapa hari sejak dilahirkan, orang ramai malah sanggup beratur panjang untuk menziarahi Lali. Ada membawa wang untuk membeli bayi itu dengan percaya, Lali turut memiliki banyak kuasa sakti. "Ini lumrah apabila orang melihat sesuatu yang luar biasa, mereka mengaitkan dengan keajaiban ciptaan Tuhan," kata Jatinder Nagar, seorang jiran yang juga mengubah dirinya sebagai pemandu pelawat. "Ia sesuatu yang dianggap ajaib sehinggakan kami sendiri mempercayai bahawa bayi ini secara tersirat sebenarnya adalah salah satu daripada manusia jelmaan dewi tuhan dalam agama Hindu," tambah beliau lagi. Pandangan itu turut dikongsi nenek Lali, Ballabh Saini yang berusia 80 tahun dan amat dihormati oleh penduduk sebagai ketua kampung itu. Beliau sepanjang hari sentiasa mendukung cucunya dengan penuh hormat. "Lali membawakan kami kemasyhuran dan ibarat restu daripada Tuhan," kata Ballabh. "Ramai orang sudah datang untuk lihat dia dan sanggup berjalan dari jauh dengan kereta, motosikal malah kereta lembu." DIPANGKU ibunya, Sushma bersama suami, Kumar, bayi ini merupakan anak sulung pasangan miskin berasal dari kampung Saini Sunpura dekat Noida. Bagaimanapun, situasi kini turut menyebabkan Kumar semakin tidak selesa dan kadang-kala kecewa. "Dia anak perempuan saya. Saya tidak mahu dilayan lebih lagi. Saya makin berasa bosan pula," keluh beliau. Namun dia pasrah dengan kepercayaan tahyul orang ramai. Berdepan dengan sesuatu yang sukar difahami, penduduk kampung malah percaya, Lali merupakan kelahiran semula daripada salah satu tuhan Hindu. Terdapat juga cadangan untuk membina sebuah kuil khas sebagai tanda hormat kepada keajaiban Lali biarpun bayi itu masih kecil untuk memahami erti sanjungan luar biasa oleh masyarakat ke atas dirinya. Dalam pada itu, doktor-doktor di Delhi turut bingung dan membayangkan kemungkinan besar, tiada harapan untuk membuang salah satu daripada mukanya seperti dalam kes pembedahan biasa terhadap bayi kembar siam. Mereka juga enggan mengambil risiko untuk menjalankan ujian perubatan untuk menentukan sama ada organ-organ dalaman pada bayi itu adalah normal sementelahan ibu bapa kanak-kanak tersebut enggan memberi izin. "Apakah bentuk keperluannya? Setakat ini yang kami tahu, dia juga seperti kanak-kanak lain," tegas Kumar. "Dan kami sekarang hanya mahu bergembira dengan anak sulung kami buat masa ini." -

Manusia berselera pelik

seorang gadis berusia 19 tahun turut menghidap penyakit ganjil itu. Gadis itu ketagih makan serbuk pencuci. Tempestt Henderson pula akan memakan lima ketul sabun dan serbuk pencuci dalam seminggu. "Rasa sabun dan serbuk pencuci itu amat manis," katanya yang merupakan seorang pelajar kejururawatan. Selepas enam bulan memakan sabun, Henderson menemui doktor untuk cuba mengubati ketagihannya. Doktor yang merawatnya menggunakan kaedah terapi bagi mengubati penyakit itu. Dia diminta mengingati benda lain semasa dia berasa mahu makan sabun. Selain itu, dia juga digalakkan pergi berjalan-jalan dan mengelak daripada mengunjungi tempat yang mengandungi sabun seperti bilik mandi dan kedai dobi. Henderson menjadi penagih sabun dan serbuk pencuci selepas dia berpisah dengan kekasihnya hanya kerana mereka belajar di kolej yang berlainan.
PENYAKIT pelik yang dipanggil Pica menyebabkan seorang jururawat pergigian dari England, Kerry Trebilcock, 21, menjadikan span pencuci dan sabun sebagai menu hariannya. Malah, sejak mengalami penyakit itu pada tahun 2008 dia telah memakan lebih 4,000 span pencuci dan 100 buku sabun. Baginya, rasa kedua-dua 'hidangan' itu sama seperti makanan ringan yang sedap dicicah sos. Dia juga gemar mencubit span pencuci dalam saiz kecil seperti biskut sebelum dicelup ke dalam air teh atau coklat panas. Bukan sekadar span pencuci, sabun organik berbau lemon dan limau nipis juga menjadi obses gadis aneh itu. "Jika sedang mandi di dalam bilik air sekali pun saya akan memakan sabun itu," katanya. Ujarnya lagi, sekiranya keluar bersiar-siar pula, kedua-dua makanan rutin itu akan dibungkus untuk dibawa bersama. Tabiat "Sebagai penambah perisa, beberapa biji tomato dan sos tidak pernah dilupakan sebelum saya memakannya di luar rumah," kata Trebilcock tanpa berselindung. Hakikatnya, penyakit Pica membuatkan penghidap ketagih makan besi, arang, pasir, kapur malah lebih buruk lagi mentol lampu dan perabot. Namun, tabiat makan yang pelik itu juga menjadi punca Trebilcock sering mengalami sakit perut dan cirit-birit. Span pencuci kebiasaannya diperbuat daripada serat kayu selulosa atau polimer plastik. Sabun organik antara bahan utamanya ialah minyak zaitun, minyak kelapa sawit, gliserin dan campuran herba. Trebilcock memberitahu, jika membeli-belah di pasar raya, dia akan membeli 40 ketul span pencuci dan sabun organik. "Juruwang pasar raya berkenaan selalu memuji dengan mengatakan saya wanita yang mementingkan kebersihan," cerita Trebilcock. Wanita ini pernah berjumpa dengan doktor pakar untuk merawat tabiat pemakanannya itu. Doktor itu memberitahu bahawa Trebilcock menghidap penyakit Pica. Jika dia tidak segera menghentikan tabiat itu ia boleh menyebabkan sistem tubuh Trebilcock terjejas. "Walaupun kerap mengikuti program kaunseling selain mengambil pil suplemen, situasinya masih sama. Saya akan makan span dan sabun sekurang-kurangnya tiga kali sehari "Tetapi saya banyak berbincang dengan individu lain yang menghidap penyakit yang sama melalui forum di Internet. Ada dalam kalangan mereka yang makan tayar kereta, sudu dan perabot," ceritanya

Kereta buatan tangan

SETIAP orang bercita-cita untuk memandu sebuah kereta impian, cuma cara memilikinya atau jenis kenderaan itu yang mungkin berbeza. Selera pengguna yang berbagai-bagai itulah yang cuba ditembusi oleh sebuah syarikat pembuat kereta di Britain apabila menghasilkan kereta terkecil di dunia seberat antara 59 hingga 110 kilogram (kg) iaitu Peel P50. Menurut pemilik bersama syarikat pengeluarnya, Peel Engineering, Faizal Khan, lebar kereta itu ialah 1,041 milimeter (mm) dan panjangnya 1,371mm. Katanya, Peel P50 mempunyai sebuah pintu dan boleh memuatkan pemandunya sahaja. "Ia dikeluarkan dalam lima varian warna iaitu putih, merah, biru, kuning dan jingga. "Kenderaan ini mendapat pengiktirafan Guinness World Records sebagai kereta jalanan yang paling kecil di dunia," tutur Faizal. Kereta buatan tangan sejak awal 1960-an ini dilancarkan semula baru-baru ini. Kenderaan ini telah direka oleh Cyrill Cannell yang berpegang pada prinsip bahawa sebuah kereta mestilah mudah dijaga, senang diparkir dan selesa dipandu.
KENDERAAN ini cuma boleh membawa seorang pemandu. Faizal berkata, syarikatnya menghasilkan Peel yang benar-benar sama seperti kenderaan yang asal iaitu menggunakan tiga buah tayar - satu di depan dan dua lagi di belakang. "Bagaimanapun, terdapat kelainan pada Peel versi baru iaitu motor elektriknya," katanya. Penggunaan bahan api yang sedikit dan efisien memberi peluang kepada Peel untuk muncul semula tahun lalu. Kenderaan itu berkonsepkan kereta hijau yang menjimatkan. "Ia bergerak menggunakan pek bateri yang boleh ditanggalkan dan sangat ringan iaitu sekitar 20kg dengan jarak perjalanan sejauh 20 kilometer untuk sekali cas. "Sebanyak tiga pek bateri boleh diletakkan dalam Peel P50 sekali gus meningkatkan jarak perjalanan kepada 60km ke 80km," katanya. Tambah Faizal, bateri itu juga boleh dicas dengan soket standard seperti yang terdapat di rumah. Kereta kecil dan comel ini boleh dibeli pada harga RM55,000 berbanding harga asalnya RM1,000 semasa mula diperkenalkan pada 50 tahun lalu. Oleh kerana kereta ini dibuat dengan tangan, hanya lima hingga 10 buah kereta yang dapat dihasilkan oleh syarikat Peel setiap bulan
ORANG KENIT dikatakan makhluk yang bentuknya mirip manusia tetapi tubuhnya hanya sebesar tikus atau tupai. Menurut cerita orang dulu-dulu, orang kenit sentiasa menyembunyikan diri kerana takut dicederakan manusia. Pada tahun 2002, saintis Chile kebingungan berikutan penemuan makhluk setinggi 7.2 sentimeter di Hutan Simpan Valdivian di negara itu. Ia dijumpai oleh seorang remaja, Julio Carreno, 15. Carreno berkata, orang kenit itu memiliki fizikal haiwan yang seakan-akan manusia. Ia mempunyai sepasang kaki dan tangan serta berkepala besar. Carreno membawanya berjumpa doktor kerana menyangka makhluk itu sakit. “Doktor yang memeriksanya terkejut kerana dia tidak pernah melihat spesies haiwan seperti itu,” tutur Carreno. Malangnya, makhluk itu mati lapan hari kemudian. Cerita itu tidak berakhir begitu sahaja. Selepas mati, bangkai makhluk kenit itu mengering seperti mumia. “Pada mulanya badannya berwarna merah jambu sebelum bertukar menjadi lebih gelap dan hitam,” kata remaja itu. Meskipun begitu, penyelidik Chile berpendapat ia mungkin janin hidupan liar seperti kucing hutan atau tupai kecil. Pengkaji dari Universiti Sonto Tomas, Filipina pula mengatakan ia sejenis hidupan seakan-akan tupai iaitu monito de monte. Tupai Tupai itu merupakan spesies mamalia kecil yang tinggal di hutan Valdivian, Chile. Ia kerap menyembunyikan diri pada waktu siang untuk mengelak daripada dikesan musuh. Bagaimanapun, cerita orang kenit di negara jiran, Indonesia lebih menggemparkan. Lebih 100 tahun lalu, beberapa penyelidik yang membuat kajian di Taman Negara Kerinci, Sumatera, menemui makhluk berkaki pendek dan berlari seperti manusia di hadapan mereka. MAKHLUK pelik yang ditemui oleh seorang remaja, Julio Carreno di Hutan Simpan Valdivian, Chile pada tahun 2002. Kulit makhluk itu setinggi 70 sentimeter itu coklat kemerah-merahan manakala tubuhnya berbulu gelap panjang. Lengannya pula lebih panjang daripada kaki. Haiwan kriptid itu dilihat pertama kali pada tahun 1910. Ia digelar dengan pelbagai nama seperti orang pendek atau orang kenit. Pada 21 Ogos 1915, seorang saintis haiwan, Edward Jacobson menemui jejak misteri di hutan simpan itu. Penemuan tapak kaki sebesar tapak tangan kanak-kanak sepanjang tujuh sentimeter memperkukuhkan dakwaan kewujudan spesies orang kenit yang mendiami kawasan hutan itu. Namun, Edward gagal menemui kelibat makhluk berkenaan mahupun kediamannya. Dua tahun selepas itu, pada tahun 1917, seorang pengurus ladang Belanda bernama Oostingh mendakwa terserempak dengan orang kenit di sebuah hutan berdekatan Bukit Kaba, selatan Jambi. Beberapa tahun kemudian, Muzium Nasional Bogor menerima bangkai dipercayai milik orang kenit. Sebelum itu, pihak muzium itu ada menawarkan hadiah bagi setiap penemuan bangkai makhluk kriptid tersebut. Makhluk asing Cerita tentang bangkai haiwan yang disangka orang kenit itu menjadi tajuk utama akhbar di Indonesia selama beberapa hari sebelum bangkai itu disahkan milik seekor kera. Setelah lama menyepi, pada tahun 1989, pencarian orang kenit kembali hangat selepas seorang penulis Britain, Deborah Martyr mendakwa berjaya menemui jejaknya di barat daya Sumatera. Jejak tersebut sepadan dengan tapak kaki anak Deborah yang berusia tujuh tahun. Selepas mengkaji selama lima tahun, Deborah akhirnya berpeluang melihat sendiri orang kenit di Gunung Kerinci pada 30 September 1994. Makhluk itu dilihat sedang berjalan dengan kedua-dua belah kakinya. Setelah berjalan sejauh beberapa meter, makhluk itu berhenti sejenak, menoleh ke arah Deborah dan terus menghilang ke dalam hutan. Malangnya, tiada bukti foto atau video yang dapat mengesahkan cerita itu. Setahun selepas itu, semasa gempa bumi melanda Liwa di Lampung, Indonesia, beberapa penduduk tempatan sempat menyaksikan orang kenit lari bertempiaran dari hutan berdekatan kerana takutkan gempa. SAIZ tapak kaki orang kenit yang berjaya dirakam sekumpulan penyelidik di Hutan Simpan Kerinci, Sumatera. Pencarian orang kenit masih diteruskan sehingga hari ini. Terbaharu, sekumpulan pengkaji Pusat Zoologi Fortean di Universiti Cambridge, Britain melaksanakan misi menjejak orang kenit tahun lepas diketuai Adam Davies. Beberapa foto telah hantar ke Universiti Cambridge dan ada khabar angin yang mengatakan gambar itu sahih. Menurut seorang pengkaji paranormal, Rahim Hanipah, 53, beliau pernah mendengar kewujudan makhluk itu di negara ini berdasarkan cerita rakan-rakannya. “Mereka menemuinya di beberapa kawasan di Johor. Ia setinggi 4 atau 5 sentimeter dan mirip manusia. “Pakaiannya juga seperti manusia tetapi cepat melarikan diri apabila terserempak dengan orang. “Sekali lagi, tiada foto atau video yang mengesahkan perkara ini,” ujarnya. Rahim berpendapat orang kenit mungkin berasal daripada keluarga jin dan berkahwin dengan manusia. “Mereka mempunyai tamadun tetapi tidak secanggih manusia. Mereka menetap di hutan, paya atau kawasan gunung-ganang yang sukar dijejaki manusia. “Makhluk ini hidup berpasangan, perlu makan dan minum selain membiak seperti manusia,” katanya. Seorang pakar objek terbang tidak dikenali (UFO), Ahmad Jamaludin, 56, berpendapat, peristiwa kemunculan UFO mempunyai hubung kait dengan orang kenit. Katanya, bukti yang beliau kumpul sejak tahun 1979 mengesahkan kehadiran entiti orang kenit di negara ini. “Saiznya kecil iaitu sekitar 3 hingga 6 sentimeter tetapi mereka sukar diperhatikan kerana hidup di alam ghaib lain sama seperti orang bunian. “Mereka mempunyai senjata laser untuk menyerang musuh. “Selain itu, mereka mengkaji corak kehidupan manusia sebelum pulang ke angkasa lepas,” katanya.

Kejutan binaan terbaik

MENURUT falsafah perancangan bandar, fungsi bangunan tidak hanya sebagai tempat tinggal mahupun tempat kerja, tetapi ciri uniknya membolehkan sesebuah bangunan menjadi mercu tanda. Wonderworks di Orlando, Florida, Amerika Syarikat (AS) misalnya dibina secara terbalik. Bangunan muzium tiga tingkat itu mempunyai ketinggian 25 meter. Sebelah bangunan itu senget manakala tiang yang menopangnya dibiarkan retak dan patah. Sesuai dengan keadaannya, di dalam muzium itu terdapat permainan yang mendebarkan bahkan mengejutkan termasuk ribut selaju 104 kilometer sejam dan gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Ritcher selain pameran kapal tenggelam Titanic. Antara bangunan lain yang menampilkan reka bentuk pelik ialah Rumah UFO di Sanjhih, Taiwan, Perpustakaan Awam Kansas City, Missouri, AS, Bangunan Tarian, Prague, Republik Czech dan Rumah Kiub di Rotterdam, Belanda. Bangunan ibu pejabat syarikat pembuatan barangan kraf tangan AS, The Longaberger Company pula menterjemahkan identitinya menerusi bangunannya. Direka menjadi seakan sebuah bakul besar, bangunan tersebut mengingatkan masyarakat sekitar terhadap perusahaan kraf tangan yang diasaskan oleh Dave Longaberger. Biarpun dianggap sebagai sebuah rekaan pelik, bangunan tersebut turut mempunyai kegunaan apabila bahagian tangkai bakul yang mempunyai berat kira-kira 150,000 kilogram boleh dipanaskan ketika cuaca sejuk.

Sabtu, 8 Disember 2012

Kopi najis gajah di utara Thailand

BANGKOK - Kira-kira 20 ekor gajah mengeluarkan najis yang mengandungi biji kopi di sebuah pusat pemuliharaan haiwan itu di wilayah Chiang Rai, utara Thailand. Gajah-gajah itu diberikan makan biji kopi yang kemudian dikeluarkan bersama najis haiwan tersebut. Biji kopi itu dijual pada harga AS$1,100 (RM3,361) bagi setiap satu kilogram (kg) yang merupakan antara yang termahal di dunia. Kopi yang dihasilkan daripada najis haiwan itu dikenali sebagai Black Ivory. Beberapa hotel mewah di dunia menawarkan minuman tersebut kepada para pelanggan pada bulan lalu yang bermula di utara Thailand diikuti Maldives dan kini Emiriyah Arab Bersatu. Harga untuk secawan kopi itu ialah AS$50 (RM152.77). "Apabila seekor gajah memakan biji kopi, perut haiwan itu menguraikan protein yang terdapat pada kopi yang menjadi punca utama ia menjadi pahit," kata Blake Dinkin yang membelanjakan AS$300,000 (RM916,649) untuk memajukan penghasilan kopi tersebut. Sebelum mengemukakan cadangan kepada Yayasan Gajah Segi Tiga Emas yang mengendalikan pusat pemuliharaan itu, Dinkin menyatakan dia bekerjasama dengan seorang pakar haiwan yang berpangkalan di Kanada untuk melakukan ujian darah di beberapa zoo gajah. Ujian itu menunjukkan gajah-gajah berkenaan tidak menyerap sebarang bahan kafeina kerana memakan biji kopi. Menurutnya, gajah memakan 33kg biji kopi untuk menghasilkan 1kg kopi Black Ivory. "Rasa kopi itu menakjubkan," kata isteri seorang warga Amerika Syarikat, Asleigh Nelson di sebuah hotel. Sebelum ini, Indonesia turut terkenal dengan kopi luwak yang dihasilkan menerusi najis musang.-